Halaman

Isnin, 2 April 2012

Pemuda PAS: Jamil Khir tak sensitif isu 'tarian tiang'

MALAYSIA KINI

Dewan Pemuda PAS hari ini mempertikaikan tindakan kerajaan yang hanya mengenakan denda serendah RM25 ke atas tiga orang gadis yang didapati bersalah kerana melakukan "tarian tiang."

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor juga menyalahkan menteri hal ehwal agama, Datuk Seri Jamil Khir Baharom atas kenyataan menteri itu yang didakwa "tidak sensitif atau prihatin" ke atas masalah sosial melibatkan umat Islam.

"Ternyata Datuk Seri Jamil Khir gagal menjaga agama Islam dan umatnya di negara ini.

"Beliau menganggap kesalahan itu sebagai remeh dan hukumannya setimpal sedangkan umat Islam menganggap kesalahan mereka amat besar manakala hukuman terhadap mereka amat kecil.

"Tidak terbayang pula bagaimana pemimpin seperti ini boleh menjaga akidah umat Islam yang jauh lebih bahaya dan sedang tergugat sekarang," kata Riduan.

Beliau mengulas kenyataan Jamil Khir hari ini yang berkata hukuman ringan ke atas pesalah kes moral seperti itu tidak harus dilihat dari aspek hukuman itu saja, tetapi pada keperluan memberi
kaunseling pada pesalah.

"Apakah pengajaran yang boleh diambil dengan hanya denda RM25 sahaja seorang? Mampukah denda RM25 memberi peringatan keras kepada individu lain daripada menceburi bidang yang haram ini?," kata Riduan lagi.

Beliau menegaskan bahawa kesalahan yang dilakukan gadis berkenaan bukan isu kecil tetapi suatu dosa besar kerana "mendedahkan aurat di samping mendorong umat Islam melakukan perbuatan zina dengan berkelakuan lucah."

Tiga gadis berkenaan, Khamis lalu diheret ke Mahkamah Majistret Seremban atas kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 itu.

Ketiga-tiga gadis berkenaan melakukan kesalahan itu di sebuah pusat hiburan di Nilai pada 24 Mac.

Mengulas lanjut, Riduan turut mengingatkan Jamil Khir bahawa "gejala sosial dalam masyarakat di negara ini sudah berada di tahap yang membimbangkan."

"Gejala pelacuran, perzinaan, anak luar nikah, bersekedudukan membawa kepada perlakuan jenayah seperti rogol, membuang bayi, membunuh dan sebagainya semakin menular dalam masyarakat.

"Ia didorong oleh gejala seks bebas, pergaulan bebas lelaki dan wanita, pengaruh filem, penggunaan Internet tanpa kawalan, serta adanya kelab malam, pusat hiburan, rumah urut seperti itu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.