Halaman

Ahad, 22 April 2012

Pindaan Enakmen Mufti dan Fatwa Kedah dicabar


ROSNANI SAAD

Pindaan Enakmen Mufti dan Fatwa Kedah dicabar
ALOR SETAR - Satu lagi laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar hari ini oleh seorang kerabat diraja Kedah, Tunku Monsor Tunku Kassim berhubung pindaan Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) minggu lalu.

Beliau berkata, tindakan Kerajaan Negeri itu, yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri sebenarnya telah menghina, merendah dan mencabar kedaulatan dan kewibawaan kuasa sultan dan raja sebagai Ketua Agama Islam negeri.

Pindaan ke atas enakmen itu memberi kuasa penuh kepada mufti dan jawatankuasa fatwa.

Menurutnya, menjadikan fatwa sebagai satu undang-undang yang tidak boleh dipertikai di mahkamah adalah satu tindakan yang menafi dan merendahkan institusi mahkamah sebagai tempat mentafsir undang-undang.

"Tindakan ini mempunyai implikasi yang cukup besar. Dalam erti kata lain ia seolah-olah meremehkan kuasa Sultan Kedah sebagai ketua agama di negeri ini.

"Justeru, laporan ini dibuat agar siasatan dijalankan supaya perkara ini tidak menimbulkan kekeliruan dan masalah kepada umat Islam dan rakyat negeri ini," katanya.

Beliau juga berkata, satu resolusi dan maklumat lengkap berkenaan isu-isu penting yang melanda umat Islam di Kedah akan dipersembahkan kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah dalam masa terdekat sebelum dipersembahkan kepada Sultan Kedah.

Sidang Dun Kedah Selasa lalu, meluluskan Rang Undang-undang Mufti dan Fatwa (Kedah) 2008 (Pindaan) 2012.

Kelulusan pindaan itu mengundang pelbagai reaksi dan satu laporan polis berhubung perkara sama turut dibuat oleh Pengerusi Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS), Mansor Ahmad baru-baru ini.

Pindaan Seksyen 22A Enakmen Mufti dan Fatwa Negeri Kedah 2008 memberi kuasa penuh kepada mufti dan jawatankuasa fatwa berhubung agama dan orang Islam di Kedah.

Berikutan pindaan itu, semua keputusan yang dibuat mufti dan jawatankuasa fatwa tidak perlu diwartakan dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah, sama ada syariah atau sivil.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Badan Selamatkan Madrasah Salihiah Kanchut, Mansor Ahmad menyangkal kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak baru-baru ini bahawa jawatankuasa itu telah menarik balik injunksi yang difailkan untuk menghalang madrasah yang dibina pada 1909 itu daripada dirobohkan.

"Kami tidak pernah menarik balik pemohonan seperti yang Azizan katakan tetapi kami ingin nyatakan bahawa ini hanya baru permulaan di mana kami menarik permohonan lama dan akan menggantikannya dengan permohonan baru," katanya.

Katanya, Mahkamah Tinggi Alor Setar telah memberi masa kepada mereka untuk memfailkan semula permohonan itu dan jawatankuasa juga telah melantik peguam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.