Halaman

Selasa, 24 April 2012

Syarikat wakaf ambil alih latihan ESQ

NORSHAHZURA MAT ZUKI & HASLINA KAMALUDIN

Syarikat wakaf ambil alih latihan ESQ
SHAH ALAM – Alumni ESQ dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah mengambil inisiatif mewujudkan sebuah syarikat wakaf (social enterprise) dalam masa terdekat untuk mengambilalih latihan dan modul ESQ yang sebelum ini dikendalikan oleh ESQ Leadership Center Sdn Bhd yang beribu pejabat di Indonesia.

Pada sebuah sidang akhbar hari ini, alumni ESQ, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, penubuhan syarikat itu dibuat setelah mengadakan perbincangan dengan pihak Pengurusan ESQ Leadership Center Sdn Bhd, Panel Syariah ESQ dan wakil-wakil alumni.

Syarikat itu akan diuruskan oleh beliau yang mewakili alumni ESQ dan PPIM yang diwakili oleh aktivisnya Datuk Nadzim Johan.

Menurutnya, inisiatif itu diambil kerana melihat kebaikan dan manfaat ESQ kepada hampir 100,000 rakyat di negara ini dan berharap ia akan dinikmati oleh ramai lagi.

Beliau dan PPIM sedia berbincang secara terbuka, ikhlas, jujur, berobjektif dengan mana-mana pihak supaya ia menyelesaikan semua isu dan kemelut latihan ESQ.

“Saya tampil dengan satu tujuan iaitu  untuk memainkan peranan menyelamatkan ummah. Saya ingin membantu untuk mengkoordinasikan sahaja. Oleh itu, para ulama, pendakwah dan alumni ESQ mesti bersatu untuk mengelakkan perpecahan. Kita mesti duduk semeja untuk mengkaji dan baiki apa yang kurang dan tidak kena dengan ESQ ini. Murnikan program ini sehingga tiada perkara yang boleh menyesatkan kita. Ia mesti menepati standard syariah compliance Malaysia. Jangan tolak mentah-mentah.”

“Pengasasnya, Ary Ginanjar juga telah memberi mandat kepada kami supaya mengambil alih modul latihan untuk terus membantu dan perkasakan ummah,” katanya.

Ditanya mengenai perjalanan syarikat wakaf itu, Hussamuddin berkata, segala keuntungan akan disalurkan kepada ummah dan dakwah. Sebahagiannya akan digunakan untuk keperluan tanggungjawab sosial PPIM untuk berdakwah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.