KUALA LUMPUR: Tabung Haji (TH) mesti menjelaskan sejauh manakah sistem pemantauannya terhadap pengurusan wang hampir tujuh juta pendepositnya, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar).
"Antara persoalan terbesar dalam TH ialah kita tidak pernah dijelaskan dengan meyakinkan bagaimana wang hampir tujuh juta pendepositnya diuruskan.
"TH menguruskan wang hampir tujuh juta rakyat negara ini yang rata-ratanya terdiri dari umat Islam yang mahu mengerjakan haji. Jangan ada sikap dan perbuatan yang boleh dipersoal dan dipertikaikan dengan wang orang yang hendak beribadat.
"TH mesti membuktikan sikap yang benar-benar bertanggung jawab," kata beliau ketika ditanya selepas berucap mengenai TH di Dewan Rakyat.
Menurut Mahfuz, kalau syarikat berhad atau sendirian berhad, ada Suruhanjaya Sekuriti dan Suruhanjaya Syarikat untuk memantau perjalanan dan pengurusan mereka.
Kalau bank pula, katanya lagi, ada Bank Negara untuk memantau perjalanan dan pengurusan mereka.
"Sebelum dilantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bank, mesti dapat persetujuan Bank Negara," katanya.
Perkara itu, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, dilakukan kerana bank menyimpan wang orang ramai - duit rakyat.
"TH juga menyimpan duit rakyat. Siapa pantau?" beliau mempersoalkan.
TH, katanya, mesti tampil dengan laporan audit yang lengkap dan telus.
"Begitu juga pelaburan TH. Siapa pantau? Sejauh mana Silverbird menghadapi status PN17 atau bermasalah?
"Benarkah berlaku perbuatan songlap wang dalam Silverbird? Jika benar, wakil TH dalam lembaga pengarah TH buat apa?" Mahfuz terus mempersoalkan.
Saham Silver Bird Group Berhad (Silver Bird) sebelum ini merudum sehingga bernilai serendah 20.5 sen sahaja.
TH merupakan pemegang saham terbesar dalam Silver Bird iaitu sebanyak 22.19 peratus manakala Koperasi Permodalan Felda Bhd pula mempunyai 12.7 peratus saham dalam syarikat pembuat roti dan kek itu.
Kejatuhan saham syarikat pembuat roti dan kek itu berpunca dari akaun syarikat itu yang tidak teratur yang melibatkan jumlah yang dianggarkan sehingga RM111.5 juta.
Akibat kemelut kewangan itu, tiga pegawai kanan Silver Bird digantung tugas termasuk pengarah urusannya, Datuk Jackson Tan Han Kook.
TH juga, katanya, bertanggungjawab menjelaskan kepada pendeposit-pendepositnya sejauh manakah kejayaannya setelah menyelamatkan sebuah lagi syarikat berstatus PN17, Lityan Berhad pada tahun 2009 dahulu.
"Adakah Lityan sudah berjaya setelah diselamatkan TH atau keadaannya semakin buruk?" Mahfuz bertanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.