Halaman

Khamis, 5 April 2012

Wan Ahmad: Tuduhan terlibat dalam ‘task force’ karut, PR tiada isu


KUALA LUMPUR — Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar menafikan sekeras-kerasnya tuduhan terlibat dalam “task force” yang didakwa PAS memberi taraf kerakyatan kepada warga asing untuk menjadi pengundi.

Semalam Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mendedahkan wujud “task force” yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing untuk membolehkan mengundi pada pilihan raya nanti.

Mahfuz mendakwa “task force” itu diketuai Penasihat Khas Perdana Menteri Datuk Osman Razak, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Tajuddin Wahab, dan Wan Ahmad serta beberapa pegawai lain di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dan fitnah itu kerana bagi saya itu cerita karut nak memalukan saya dan integriti SPR,” kata Wan Ahmad kepada The Malaysian Insder.

“Saya rasa saya tak perlu layan fitnah yang tidak berasas ini.”

Jelas beliau, PAS serta rakan komponen dalam Pakatan Rakyat akan terus membuat tuduhan terhadap SPR untuk mengelirukan rakyat.

“Mereka tiada isu yang dapat memberi keyakinan kepada rakyat selaku pengundi, sebab itu tuduh macam-macam.

“Jadi mereka menghala kepada SPR, daftar pemilih... walhal semua itu telah dibincangkan secara terperinci dalam Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) dan kita akan laksanakan cadangan itu dengan sebaik mungkin yang berasaskan kepada undang-undang,” katanya.

Justeru Wan Ahmad menasihatkan Pakatan Rakyat agar tidak menyalahkan SPR semata-mata mahu menarik simpati rakyat.

“Mereka cuba timbulkan alasan, isu demi isu. Bagi mereka itu cara untuk tarik rakyat, reka cerita dan kelirukan rakyat.

“Mereka tiada perkara besar untuk ditumpukan, jadi sasarkan SPR. Saya rasa itu mencerminkan keadaan pembangkang tapi itu politik mereka, jangan kaitkan dengan SPR,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.