Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abd Rahman berkata, langkah mengumumkan nama pembida itu secara tidak langsung mungkin memberi pelbagai tafsiran terutama mengenai kekayaan mereka.
"Saya berpendapat ia mungkin perlu dipertimbangkan semula sama ada pendedahan secara umum seperti ini perlu dibuat pada masa hadapan atau tidak untuk mengelakkan fitnah," katanya ketika dihubungi Bernama.
Mohd Yusof berkata demikian sebagai mengulas siasatan polis Johor terhadap tindakan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mempertikaikan bidaan nombor plat WWW 1 berharga RM520,000 oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim.
Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak dalam Twitternya menyatakan bahawa jumlah wang yang besar itu boleh diguna untuk membantu orang Melayu yang miskin di negeri itu membeli rumah.
Mohd Yusof, bagaimanapun berkata, pendedahan nama-nama pembida menunjukkan ketelusan JPJ dalam menguruskan bidaan yang bernilai ratusan ribu ringgit serta niat baik jabatan itu untuk kemudahan pelanggan yang terlibat dalam bidaan tersebut.
Beliau juga berkata, masyarakat tidak berhak untuk menghakimi seseorang individu kerana kekayaan dan kemampuan seseorang itu, bersifat peribadi.
"Isu nombor bidaan ini tidak sepatutnya timbul kerana kalau tidak didedahkan, orang ramai tidak mahu tahu pun tentang siapa pemenang, kadang-kala orang tidak ambil kisah siapa yang menang kecuali selepas ia dipolitikkan," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.