Ini sekaligus menolak kenyataan Ahmad Zahid Hamidi semalam yang menafikan Umno mempunyai hubungan dengan pihak
komunis.
PETALING JAYA: Tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) untuk menakut-nakutkan rakyat dengan dakwaan bahawa parti pembangkang terlibat dengan unsur keganasan dan komunis ibarat senjata makan tuan.
Sebuah blog, tukanglawan hari ini menyiarkan 10 keping gambar yang membuktikan Umnolah yang sebenarnya yang mempunyai hubungan dengan Parti Komunis China sejak dahulu sehingga sekarang.
Ini sekaligus menolak kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang menafikan Umno mempunyai hubungan dengan pihak komunis.
Bernama semalam melaporkan Menteri Pertahanan itu berkata Umno dalam sejarahnya tidak pernah menjalinkan hubungan dengan golongan fahaman komunis.
“Apa buktinya? Dalam sejarah parti Umno, parti ini anti Parti Komunis Malaya. Jangan buat cerita mengarut,” katanya ketika diminta mengulas laporan portal media, Free Malaysia Today (FMT).
Dakwaan tidak berasas
Ini semua berpunca dari dakwaan yang tidak berasas, dibuat oleh Ketua Penolong Pengarah E2 (M) Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin.
Laporan Bernama yang diterbitkan kelmarin melaporkan Mohd Sofian sebagai berkata bahawa Cawangan Khas mengesan beberapa elemen JI (Jemaah Islamiah) cuba meresapi PAS selain elemen gerakan komunis cuba meresapi DAP.
Kenyataan Mohd Sofian ini tidak pula disokong oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana beliau sendiri tidak pasti tentang perkara ini.
Hishammuddin dilaporkan berkata, “saya tidak mempunyai maklumat yang relevan buat masa ini. Oleh itu, saya tidak boleh berkata sama ada ianya betul atau tidak. Itu yang dapat saya katakan dan topik ini amat sensitif.
Sementara itu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyifatkan kenyataan Mohd Sofian ini sebagai usaha Umno-BN menggunakan kaedah zaman Perang Dingin bagi menakut-nakutkan rakyat.
Setiausaha Agung PSM S Arutchelvan berkata, mereka menggunakan kaedah Perang Dingin untuk menyemai rasa takut tapi kaedah ini tidak berkesan kerana ia telah pun digunakan dulu.
“Sepatutnya Umno menjelaskan kepada rakyat hubungan mereka dengan Parti Komunis China, Parti Komunis Vietnam dan Parti Komunis Cuba dan bukan menafikannya” kata beliau kepada FMT.
Untuk mengakses 10 gambar yang dimaksudkan sila layari http://tukanglawan.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.