Kopi pahit hujung minggu
Kenyataan itu yang dikatakan menyinggung setengah pihak berbunyi: “Apakah Ambiga tidak boleh kita anggap penderhaka kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan hukum gantung kepada dia?”
Ketika menarik balik kenyataan itu, beliau berkata: “Saya seorang rakyat yang ada disiplin, parti saya parti yang berdisiplin dan berhubung kenyataan itu kalau ia menyinggung perasaan rakan-rakan saya orang India, pemimpin-pemimpin MIC, PPP dan dalam menghormati semangat persefahaman dalam BN, saya menarik balik semua kenyataan saya berhubung isu itu.”
Terdahulu mengulas isu sama, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan kenyataan YB berkenaan adalah pandangan bersifat peribadi dan bukan pendirian Barisan Nasional (BN).
Kata Tengku Adnan: “Saya ingin menegaskan bahawa Barisan Nasional mendukung Perlembagaan Persekutuan dan prinsip keluhuran undang-undang dan kes berkaitan perhimpunan Bersih masih dalam siasatan pihak berkuasa.”
Kalau dibaca secara halus, kenyataan Tengku Adnan itu boleh dianggap bahawa apa yang dikatakan oleh rakan separtinya di Parlimen itu adalah tidak mendukung perlembagaan, dan tidak sejalan dengan prinsip keluhuran undang-undang.
*MEMETIK semula kata-kata YB Sri Gading: “Saya seorang rakyat yang ada disiplin, parti saya parti yang berdisiplin...”
Tidak sahaja sebagai seorang rakyat, sebagai seorang wakil rakyat pun mesti ada disiplin. Dan bercakap dalam Dewan Rakyat atau dewan yang mulia, perlu juga ada disiplin. Bahasa kena jaga, tingkah laku pun kena ambil berat.
Sayang sekali sesetengah Ahli Yang Berhormat kita, tidak kira dari parti mana, oleh sebab terlalu bersemangat dan berkobar-kobar, ada ketikanya lupa pada disiplin.
Mereka bercakap bahasa kasar, memekik, malah berbahasa lucah.
Apakah bercakap kasar, kurang ajar, memekik dan lucah itu satu disiplin? Apakah tumbuk-tumbuk meja dan pulaukan persidangan itu satu pekerti orang yang dipilih dan bergelar Yang Berhormat?
Apa yang dipamer sesetengah wakil rakyat – baik Parlimen atau Dun – selama beberapa tahun ini tentu sekali diperhatikan dengan teliti oleh rakyat @ pengundi.
Maka pengundi berdisiplin jangan pangkah lagi YB tidak berdisiplin.
Kepada pucuk pimpinan parti yang hendak memilih calon, patut pentingkan juga disiplin. Mana-mana YB yang jelas tidak ada disiplin tidak patut dipilih sebagai calon, sebab mereka bukan ‘calon boleh menang’.
*BERCAKAP mengenai PRU13, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pun tumpang semangkuk mengenai ibadat haji di Makkah dan kewajipan mengundi.
Katanya: “Saya menolak PRU diadakan pada musim haji. Ini juga sama jika PRU diadakan semasa rakyat bukan Islam menyambut perayaan masing-masing, seperti Tahun Baru Cina dan Deepavali.”
Saya ingat YAB Lim tidak perlu banyak cakap mengenai hukum Islam, sebab beliau bukan arif dalam hukum-hakam Islam. Dia kena ingat ibadat haji lain, Gong Xi Fa Cai lain, Deepavali lain.
Lagi pun apa yang kita hendak kecoh pilihan raya musim haji, sebab belum tentu lagi PRU13 dibuat masa haji. Kalau buat masa haji pun tidak akan jejaskan pilihan raya sebab orang kita ke Makkah jumlahnya tidak sampai 30,000 dan bukan datang dari satu kawasan pilihan raya.
*AKHIR kalam, Ahli Parlimen Indera Mahkota daripada PKR, Azan Ismail mendakwa pernah ditawar jutaan ringgit untuk lompat parti.
Sebelum ini pun kita sudah dengar beberapa lagi YB pembangkang ditawarkan habuan lumayan untuk keluar parti.
Tetapi setakat ini belum ada yang keluar parti akui mereka terima apa-apa habuan. Setiap yang keluar parti menegaskan:
“Saya keluar dengan rela, tanpa desakan, tanpa habuan!” Kita tidak tahu yang mana satu betul! TOK PERAK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan