HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Julai 2012

Isu komunis: Najib, Hishammuddin digesa tumpu soal keselamatan

Oleh Aisha Geoffrey


KUALA LUMPUR : Pimpinan Barisan Nasional (BN) ketandusan modal politik dan terpaksa menggunakan polis untuk menyebar pembohongan hingga mengabaikan kepentingan keselamatan awam berikutan usaha kerajaan mengaitkan Pakatan Rakyat (Pakatan) dengan elemen komunis.

Demikian Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein selepas Ketua Penolong Pengarah E2 (M), Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin, mengatakan terdapat pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis meresapi parti politik Pembangkang dan cuba menjadi calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

“Kenyataan Mohd Sofian yang dibuat secara umum tanpa merujuk kepada bukti yang kukuh adalah amat tidak adil dan tidak benar kepada Pakatan,” kata Teresa yang juga Exco Kerajaan Selangor.

“Ia lebih merupakan kenyataan politik yang berpihak kepada BN daripada kenyataan berlandaskan fakta yang bebas daripada pendirian parti politik,” jelasnya dalam kenyataan.

Menurut Teresa, sebagai pemimpin negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Hishammuddin sepatutnya mengelak dari mengeluarkan kenyataan yang tidak benar dan mengelirukan rakyat.

“Saya menyeru Najib dan Hishamuddin menumpukan usaha untuk memerangi jenayah dan menjaga keselamatan, dan bukan membazirkan masa dalam topik dan isu lama seperti ini,” katanya.

“Hishamuddin seharusnya mengarah Cawangan Khas PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk menjadi satu agensi yang bebas daripada politik kerpartian dan tarik balik tuduhan yang tidak berasas tersebut demi nama baik polis,” tegas Teresa.

Tiada ulasan: