Tindakan menghina dan merendahkan kedudukan bukan Melayu sedang giat dijalankan, dakwa Lim Guan Eng.
PETALING JAYA: DAP mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya membuktikan bahawa Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang dengan memainkan api perkauman.
Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng mendakwa tindakan menghina dan merendahkan kedudukan bukan Melayu sedang giat dijalankan dengan tujuan untuk menimbulkan ketakutan dan kebencian di kalangan rakyat Malaysia.
“Slogan 1Malaysia Najib dimusnahkan oleh golongan ektremis dan rasis dalam Umno yang menjalankan kempen untuk meniup rasa benci dan takut terhadap Pengerusi Bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan, isu Singapura dan diri saya sendiri,” katanya dalam blog rasminya hari ini.
Ujar beliau, “Ambiga menerima tekanan dan ugutan apabila mereka mendirikan gerai daging burger dan senaman punggung di hadapan rumahnya, satu tindakan yang memalukan terhadap seorang wanita India beragama Hindu.
“Lebih buruk lagi apabila Ahli Parlimen Sri Gading dari Umno, Datuk Mohamad Aziz menyoal sama ada beliau boleh digantung kerana ‘menderhaka’ terhadap Yang DiPertuan Agong kerana mengetuai Bersih sedangkan beliau bukannya seorang sahaja yang menganjurkan perhimpunan itu,” terang beliau.
Ketua Menteri Pulau Pinang menyoal, “kenapa Mohamad Aziz tidak menyarankan tindakan yang sama diambil terhadap mereka yang membeli undi dan mencuri wang rakyat?”
Beliau memberitahu Perkasa dan Utusan Malaysia terus dengan usaha mereka menghina bukan Melayu dengan pembohongan bahawa
Singapura yang didominasi oleh masyarakat Cina mempunyai agenda politik untuk mencampuri urusan dan menguasai politik negara ini.
Akhbar milik Umno itu menyiarkan fitnah dengan menunjukkan bukti lawatan Lee Kuan Yew ke Pulau Pinang dan mengaitkan hubungan sejarah dengan DAP.
Utusan Malaysia sengaja tidak mengakui hakikat bahawa Lee Kuan Yew juga mengadakan lawatan ke negeri-negeri BN yang lain selain Pulau Pinang dan hubungan hanya berdasarkan kerajaan dengan kerajaan sejak Pakatan Rakyat memerintah pada 2008.
Demonstrasi caci maki
Ujarnya, “ketika lawatan saya ke pasar Teluk Bahang pada Sabtu lalu, Perkasa bukan sahaja menganjurkan demonstrasi caci maki yang tidak jauh dari tempat saya berdiri tetapi datang menyerbu ke arah saya dari belakang dengan merempuh lengan kiri saya dengan kuat.”
Walau pun anggota polis berada di situ, polis sekali lagi gagal memberi perlindungan yang secukupnya atau menahan orang yang merempuh saya dari belakang. Sebaliknya seorang pemimpin JKKK Pakatan menolak ahli Perkasa itu.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar dipetik sebagai berkata, jika pihak polis tidak campur tangan maka Ketua Menteri mungkin mengalami kecederaan.
“Jika dakwaan beliau benar kenapa pesalah yang merempuh lengan kiri saya dari belakang dan mengancam nyawa saya tidak ditahan dan didakwa.
“Selaku Presiden Umno, Najib harus menghentikan sokongan parti itu terhadap Perkasa dan mengarahkan polis bertindak tegas terhadap keganasan yang dilakukan ahli-ahli Perkasa,” ujar Guan Eng.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.