HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 Julai 2012

JI-komunis: Hishammuddin bidas Kit Siang

Wartawan Sinar Harian

JI-komunis: Hishammuddin bidas Kit Siang
Hishammuddin bersalaman dengan pegawai polis semasa membuat lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam.
 
 
KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membidas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah ketandusan idea dengan mengeluarkan kenyataan mengenai pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis cuba meresapi parti pembangkang dan menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

“Dakwaan Kit Siang tidak benar, apa yang dia cakap mengikut ideologi politik beliau. Sekarang ini berbeza dengan landskap politik dahulu, saya rasa apa yang polis Cawangan Khas kata (siasat) ia merupakan satu fakta,” katanya.

Hishammuddin berkata, kenyataan dikeluarkan adalah fakta yang disiasat melalui satu cawangan khas yang ditubuhkan.

“Melalui laporan diterima daripada cawangan khas, ini adalah ancaman kepada keselamatan negara,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Penolong Pengarah E2 (M) Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin berkata, Cawangan Khas mengesan beberapa elemen JI cuba meresapi Pas selain elemen gerakan komunis cuba meresapi DAP.

Mohd Sofian berkata, terdapat pengganas JI pernah dikaitkan dengan gerakan komunis berusaha meresapi parti pembangkang selain cuba menjadi calon dalam pilihan raya umum akan datang.
Pendirian yang selari dengan Kit Siang turut dilahirkan oleh PKR dan Pas sebelum ini.

Dua hari lalu, beliau berkata, setakat ini beliau tidak menerima maklumat wujudnya pengaruh pengganas dan bekas komunis meresapi mana-mana parti politik di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau dan melakukan risikan bagi mengesan sekiranya wujud perkara seperti itu.
  
Sebarang maklumat mengenai ancaman itu tidak boleh didedahkan kepada umum sehingga siasatan selesai, katanya.
  
Hishammuddin berkata maklumat seperti itu cukup sensitif kerana ia mungkin datang daripada badan dan agensi keselamatan antarabangsa yang tidak boleh didedahkan kepada orang awam sehingga ia disiasat dan diselesaikan.
Sementara itu, Hishammuddin berkata, KDN akan menubuhkan satu jawatankuasa khusus membela mangsa jenayah kekerasan dan penculikan terutama golongan wanita dan kanak-kanak.

Katanya, jawatankuasa khusus itu akan dianggotai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan badan bukan kerajaan (NGO), yang akan dipilih KDN mengikut kriteria ditetapkan.

Hishammuddin berkata, kerjasama itu akan dimuktamadkan melalui mesyuarat khas diumumkan minggu hadapan.

“Isu-isu tersebut telah kenal pasti seperti kes culik kanak-kanak dan jenayah terhadap wanita di pusat membeli-belah dan merupakan satu agenda penting untuk kita menurunkan kadar jenayah pada hari ini,” katanya.

Tiada ulasan: