Halaman

Selasa, 24 Julai 2012

Mahkamah batalkan keputusan Hishamuddin Hussein, Bersih 2.0 organisasi ‘halal’

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri yang mengatakan Gabungan Menuntut Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) sebagai sebuah pertubuhan haram.

Hakim Datuk Rohana Yusof dalam penghakimannya hari ini berkata kenyataan Menteri Dalam Negeri itu tidak masuk akal kerana setelah menggelarkan gabungan itu sebagai pertubuhan haram pada 1 Julai tahun lalu, kemudiannya membiarkan pertubuhan itu mengadakan perhimpunan pada 9 Julai tahun sama.

“Pada pendapat saya, keputusan itu adalah tidak rasional ... keputusan untuk mendakwa Bersih sebagai pertubuhan haram dibuat tanpa mengambil kira fakta yang relevan,” katanya.

“Adalah tidak masuk akal setelah mengatakan ia pertubuhan haram, seminggu kemudian biarkan mereka mengadakan perhimpunan pada 9 Julai,” kata beliau lagi.

Beliau turut menjelaskan, adalah “tidak munasabah” untuk menteri mendapati Bersih sebagai pertubuhan haram atas alasan “menyalahi peraturan dan keselamatan awam” pada 1 Julai dan kemudiannya pada 5 Julai dan juga 9 Julai, tetapi menteri masih lagi mengadakan rundingan dengan penganjur dan membenarkan perhimpunan itu berlaku.

“Tidak masuk akal, seminggu kemudian, alasan itu tidak lagi sah dan diterima ... pengisytiharan kerajaan bahawa pertubuhan itu melanggar undang-undang  tidak boleh diterima.

“Ketidakwarasan telah diterima sebagai satu alasan untuk membatalkan keputusan pentadbiran. Pada pandangan saya, ianya sah untuk di dibatalkan,” katanya lagi.

Selain itu, mahkamah juga berkata, pertemuan antara Yang Dipertuan Agong sebelum ini, Tuanku Mizan Zainal Abidin Almarhum Sultan Mahmud Al Mukti Billah Shah dan Pengerusi Bersama Bersih Datuk Sreenevasan turut diambil kira bagi menentukan Bersih bukanlah pertubuhan haram.

Jawatankuasa Pemandu Bersih yang diketuai oleh Ambiga Sreenevasan (gambar) telah menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai responden.

Rohana juga turut menegaskan, “keputusan untuk Bersih kena pada hak-hak dijaminkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan tidak patut diambil dalam hanya satu cara sahaja.

“Jika ianya didapati menjadi satu ancaman bagi keselamatan negara,  kelakuan responden dalam  Bersih pula menunjukkan sebaliknya,” katanya lagi.

Hakim turut menjelaskan Bersih 2.0 juga tertakluk di bawah Akta Pendaftar Pertubuhan 1966 kerana ia boleh ditafsirkan  sebagai pertubuhan di bawah Seksyen 2 akta berkenaan.

Beliau turut menerangkan, Menteri Dalam Negeri telah bertindak menggunakan kuasanya, namun menjelaskan, tiada dakwaan dibuat terhadap pemimpin Bersih di bawah akta berkenaan.

Oleh itu, katanya, mahkamah membenarkan permohonan Bersih, dengan tiada perintah tentang kos.

Dalam sidang hari ini, turut hadir adalah sekitar 20 penyokong Bersih dan mereka turut memakai baju T Kuning tertera perkataan Bersih semasa keputusan dibacakan.

Bercakap kepada pemberita, peguam mewakili Bersih, K Shanmuga berkata keputusan hakim itu bermakna Bersih kini adalahg pertubuhan yang sah.

“Bersih sekarang adalah pertubuhan yang sah,” katanya di luar mahkamah.

Sementara itu, Pengerusi Bersama Bersih, Datuk A Samad Said yang turut hadir menyuarakan rasa lega kerana Bersih telah dibebaskan daripada pertuduhan pertubuhan haram tersebut.

“Ianya membuang masa, tenaga dan sumber dan juga perintah mengatakan kita haram seharusnya tidak dibuat,” katanya lagi.

Selain dari Ambiga, plaintif turut termasuk Dr Ahmad Farouk Musa, S Arul Prakkash, K Arumugam, Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, Andrew Khoo Chin Hock, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, SP Subramaniam, Toh Kin Woon, Wong Chin Huat, Yeo Yang Poh, Yeoh Yong Woi dan Zaid Kamaruddin.
Sementara responden adalah Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan kerajaan.

Julai tahun lalu, Hishammuddin dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengisytiharkan gabungan itu menyalahi undang-undang, sehari sebelum perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai berlangsung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.