Halaman

Rabu, 4 Julai 2012

Najib salur dana pelaburan RM1 bilion kepada kroni?

Oleh Mohd Martin Kahar


KUALA LUMPUR  Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail meragui dana pelaburan RM1 bilion yang diumum Perdana Menteri tidak sampai kepada golongan sasaran tetapi dikaut kroni kerajaan.

Katanya, perkara itu paling dikhuatiri kerana kerajaan tidak menyatakan secara terperinci bagaimana dana tersebut akan disalurkan.

“Ia ibarat saluran air tetapi tiada paip. Mereka umumkan dana tetapi kaedah untuk menyalurkannya tidak diketahui,” katanya ketika dihubungi Keadilan Daily.

Beliau berkata, Dana Strategik Pelaburan Domestik RM1 bilion yang diumum  kerajaan tidak akan memberi kesan kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan usahawan Bumiputera.

Menurutnya, Umno BN hanya bermain ‘tanda’ matawang dengan mengumumkan insentif berbilion-bilion ringgit tetapi tidak membawa kesan kepada usahawan Bumiputera.

“Walaupun pelbagai usaha dilakukan, hakikatnya penyertaan Bumiputera dalam IKS semakin menurun disebabkan dana yang disalurkan tidak sampai kepada mereka,” jelasnya.

Malah kata Azan, ketika dana itu dibentang di Dewan Rakyat, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) gagal menyatakan cara dana itu akan dibelanjakan.

Justeru, beliau mencabar kementerian itu menyatakan secara mendalam bagaimana RM1 bilion itu akan diagihkan.

Pembentukan dana itu diumum Datuk Seri Najib Razak semalam.

Ia kononnya bertujuan meningkatkan penyertaan syarikat milik Malaysia dalam rangkaian bekalan global, industri sasaran iaitu bernilai tinggi tambahan, berintensifkan pengetahuan dan industri berasaskan inovasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.