Halaman

Isnin, 2 Julai 2012

Pakatan harus kembangkan bakat artis, bukan ceramah – Zunar

Aishah Geoffrey


KUALA LUMPUR : Pakatan Rakyat harus menjadi wadah baru kepada artis dengan menyediakan ruang, peluang dan kemudahan bagi mereka untuk terus berkarya, kata kartunis terkenal, Zunar.

“Tahniah kepada artis yang tampil menyatakan sokongan. Selama ini rungutan artis ketika pemerintahan Barisan Nasional ialah mereka dianak tiri, dipinggir dan kreativiti disekat.

“Penapisan semakin ketat. Akhir-akhir ini bukan sahaja skrip drama mesti diluluskan, malah pemilihan pelakon juga perlu perkenan stesen televisyen.

“Lagu yang kritis pula digam oleh stesen TV dan radio. Ini sebahagian contoh dari senarai panjang tekanan,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Zunar percaya, Bob Lokman, Siti Aishah, Dayang Ku Intan, Hairie Othman, Abby Abadi dan Iwan menyertai Pakatan kerana yakin ia adalah wadah alternatif untuk menggantikan BN.

“Kehadiran artis disambut baik dengan undangan ceramah hampir setiap malam. Namun, ceramah bererti mensia-siakan bakat seni.

“Mereka wajar membuat persembahan seni, cuma wadah dan isinya berbeza,” kata Zunar atau nama sebenarnya, Zulkiflee SM Anwar Ulhaque.

“Bob Lokman harus cipta lagu. Dayang Ku Intan dan Aishah terus hasilkan album. Abby Abadi dan Hairie Othman terus berlakon. Begitu juga artis lain,” katanya.

Bagi Zunar, Pakatan gagal menyambut kehadiran artis kerana sehingga kini, tiada penganjuran konsert, album lagu reformasi atau filem yang merakam sejarah perjuangan.

“Dengan menguasai Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, adakah peruntukan kebudayaan di negeri masing-masing tidak boleh disalur?” katanya yang mengakui ia memerlukan belanja besar.

Zunar berpendapat konsep hiburan alternatif wajar dilaksanakan di negeri Pakatan bagi mengembalikan martabat artis dengan membebaskan mereka dari belenggu BN.

“Apakah tahap penapisan dan kebebasan apabila Pakatan memerintah kelak? Apakah ada garis panduan yang jelas? Semua boleh dijawab dengan mempraktikkannya sekarang,” katanya.

“Jika ini dilakukan, artis-artis dapat melahirkan karya bebas, berkualiti dan menjurus perjuangan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.