Halaman

Selasa, 3 Julai 2012

Rafizi: Hubungan baik Najib bolehkan kroni dapat projek walaupun markah rendah


Oleh Aedi Asri


PETALING JAYA: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli mendedahkan, Konsortium George Kent yang memenangi tender untuk projek penyambungan LRT Ampang tidak mempunyai kemampuan dari segi teknikal dan kewangan untuk menyelenggara projek itu.


Rafizi mendapati, Surat Syarikat Prasana Negara Berhad kepada kerajaan menyatakan konsortium itu menerima penilaian rendah berbanding pembida lain dengan hanya mendapat markah teknikal sebanyak 38.62 daripada 70 peratus dan markah kewangan 8.7 daripada 30 peratus.

Beliau merujuk penilaian yang dibuat syarikat perunding kejuruteraan lantikan Prasarana, HSS Integrated Sdn Bhd yang menggunakan kepakaran Halcrow, perunding kejuruteraan terkemuka dunia, yang dilampirkan bersama surat tersebut.

Menurut Rafizi, halaman 14 laporan yang disertakan menyatakan, George Kent tidak memahami kehendak teknikal projek, terutamanya mengenai koordinasi dengan sistem LRT sedia ada.

“George Kent hanya buat meter paip dan tiada pengalaman dalam hal berkaitan rel keretapi jadi mereka lantik perunding dan banyak sub-kontraktor dalam ‘joint venture’ mereka.

“Tapi malangnya syarikat yang dilantik juga (dinilai) tidak mampu, dan ia cukup membimbangkan kita.

“(Maka) pada halaman 17 penilai rumuskan, George Kent tidak mampu meyakinkan penilai bahawa mereka ada kepakaran untuk jalankan projek ini dengan sistematik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini, hari ini.

Jelas Rafizi lagi, pada halaman 24 surat tersebut menyatakan, George Kent juga tidak pernah mengendalikan projek sebesar ini berbanding pembida lain.

“Projek terbesar pernah dikendalikan George Kent hanya bernilai RM40 juta berbanding hampir semua pembida lain yang pernah menyiapkan projek bernilai RM1 bilion, iaitu sama dengan nilai projek ini,” katanya lagi.

Berdasarkan dokumen ini, kata Rafizi, terbukti George Kent tidak memiliki kepakaran dan pengalaman yang melayakkannya mendapat tender ini, kecuali hubungan baik dengan (Datuk Seri) Najib (Razak).

Setakat ini, Perdana Menteri tidak menafikan dakwaan itu dan hanya mengatakan kontrak diberikan mengikut prosedur.

“Campur tangan Najib dalam projek ini memberi gambaran beliau tidak hiraukan risiko keselamatan pengguna, dan ratusan ribu pengguna LRT dalam keadaan bahaya jika (projek) ini diteruskan.

“Najib perlu jelaskan pertimbangan beliau yang mendorongnya membahayakan keselamatan rakyat dengan memberikan projek ini kepada George Kent,” kata Rafizi.

Tambah beliau, pendedahan mengenai isu ini akan terus dibuat, termasuk membuktikan sejauh mana hubungan Najib dengan George Kent.

Pada 27 Jun lalu, empat pegawai SUruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil keterangan Rafizi beberapa jam selepas beliau mendedahkan perkara itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.