Oleh Aisha Geoffrey
SHAH ALAM : Tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) meniru Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) menunjukkan mereka begitu terdesak untuk merampas negeri ini dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13).
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar turut menyifatkan, Program Interaktif Tuisyen Rakyat 1Malaysia (iTR1M) oleh BN sebagai membazir dan tanpa rancangan teliti.
“Saya mendapat maklumat dari guru-guru bahawa buku rujukan (iTRIM) sudah dicetak tapi hanya tersimpan di sekolah begitu saja kerana tidak ada maklumat terperinci bagaimana untuk melaksanakan program itu,” kata Xavier yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Andalas.
Pada 28 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan program itu kononnya untuk memberi tuisyen percuma kepada 10,000 pelajar di negeri Selangor yang bakal menduduki peperiksaan umum pada tahun ini.
“Najib hanya melancarkan program itu untuk menunjukkan mereka mampu buat perkara yang sama tanpa mengkaji dahulu kaedah pelaksanaan yang bakal digunakan. Nampak ketara begitu terdesaknya mereka,” katanya lagi.
Tambah Xavier, tindakan itu juga menjadi bukti Kerajaan Pusat tidak serius dalam meningkatkan taraf hidup dan pendidikan rakyat miskin keseluruhannya kerana hanya menumpu program itu di Selangor.
“Kalau mereka (BN) benar-benar telus, kenapa tak jalankan program itu ke seluruh Malaysia dan bantu semua pelajar?” tempelak Xaxier.
Kerajaan negeri memberi peluang kepada pelajar daripada keluarga miskin yang prestasi akademiknya sederhana menghadiri kelas tambahan PTRS yang dianjurkan Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.
Setakat ini, PTRS telah memberi manfaat kepada lebih 20,000 pelajar di Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan