Oleh Shawaliah Hadir
SHAH ALAM: Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyarankan agar SUHAKAM
mengambil tindakan tegas menggunakan kuasa dan fungsinya di bawah Akta
Suhakam 1999 berhubung campur tangan dan gangguan berterusan kerajaan
terhadap NGO hak asasi manusia, SUARAM.
Malah, beliau berkata SUHAKAM boleh menggunakan Seksyen 4(1)(4) Akta
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 yang memberikannya fungsi untuk
menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia dan
Seksyen 4 (2)(3) memberikannya kuasa untuk mengkaji dan menentusahkan
apa-apa pelanggaran hak asasi manusia.
Sehubungan itu, Kit Siang menyeru kerajaan BN berhenti menakut-nakutkan NGO hak asasi manusia itu.
“Saya juga menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk
memberhentikan serangan UMNO-BN dan menamatkan semua gangguan dan
pertuduhan bukan sahaja ke atas Suaram tetapi juga NGO-NGO bebas hak
asasi manusia yang lain dan masyarakat sivil seperti BERSIH.” Ujar Kit
Siang dalam kenyataan medianya.
Katanya, campur tangan dan gangguan berterusan kerajaan terhadap SUARAM
menimbulkan tanda tanya kerana pertubuhan itu bergiat aktif menjejak
skandal Scorpene di mahkamah Perancis dalam rangka kempennya untuk
mendedahkan rasuah kerajaan dalam pembelian kapal selam berbilion-bilion
ringgit.
Beliau juga menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan supaya tidak membuat kenyataan yang tidak berasas tetapi
menjalankan penyiasatan yang adil dan telus terhadap perakaunan kewangan
dan keperluan undang-undang lain Suaram.
Beberapa minggu lalu, kerajaan telah memulakan tindakan terhadap SUARAM
selepas pertubuhan tersebut mendedahkan maklumat baru daripada dokumen
yang disediakan oleh pejabat pendakwa raya Perancis perihal penglibatan
pegawai-pegawai di Malaysia dalam satu pertuduhan rasuah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.