Tahap persaingan yang rendah memudahkan atlet paralimpik memperoleh pingat berbanding atlet normal.
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menegaskan kementeriannya tidak mampu memberikan layanan yang adil kepada atlet golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) terutamanya dalam pemberian imbuhan kepada pemenang pingat.
Ahmad Shabery berkata, tahap persaingan yang rendah memudahkan atlet paralimpik memperoleh pingat berbanding atlet normal yang terpaksa melalui saringan yang lebih sengit dan melalui beberapa perlawanan sebelum dapat melayakkan diri dalam sesuatu kejohanan terutamanya Olimpik.
“Kalau bagi insentif yang sama sudah tentu dianggap tak berlaku adil bagi atlet lain yang mengalami proses yang jauh lebih susah dan mereka kemungkinan akan tuntut jauh lebih beberapa kali ganda jika habuannya sama rata.
“Ini tak boleh seimbang kerana perlu ambil kira banyak faktor berkaitan tahap kompetitif yang berbeza-beza.
“Apa yang penting kepada atlet OKU kita beri lebih banyak peluang untuk ambil bahagian, itu lebih penting. Menghargai,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Katanya, keputusan itu diambil selepas mendengar pelbagai pandangan profesional yang berpendapat habuan perlu diberi berdasarkan tahap persaingan yang dilalui setiap atlet dalam sesuatu perlawanan.
Nafi berat sebelah
“Tapi saya bersedia mendengar pandangan lain sekiranya ada pandangan lain, bukan pandangan sentimen .
“KBS bukan Kementerian Kebajikan Masyarakat nak bagi (insentif) kerana fokus kita untuk melahirkan atlet sukan jadi sudah tentu ia melihat keapda perspektif berbeza.
Namun begitu, beliau menafikan wujudnya layanan berat sebelah kepada atlet OKU.
“Kalau nak kata kita kurang beri tumpuan pada OKU tidak betul kerana atlet paralimpik kita terbaik di rantau ini.
“Kementerian ada bina Kompleks Sukan untuk OKU di Kampung Pandan dengan kos RM50 juta dan sudah 90 peratus siap.
“Kalau selama ini mereka menumpang, kini mereka sudah ada tempat khusus,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.