Oleh: Sidiqin Omar
KUALA LUMPUR: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau mana-mana badan korporat di negara ini tidak akan terlepas dari pemerhatian Pusat Pemantauan dan Pemberi Maklumat Kebangsaan (NOW), kata Pengarah Eksekutifnya, Rafizi Ramli.
“Syarikat jenis ini terlibat dalam pengendalian dana awam. Keputusan pelaburan mestilah menepati kepentingan ramai dan kita tak mahu ada syarikat yang melanggar etika,” kata Rafizi.
Beliau berkata demikian kepada Suara Keadilan selepas tayangan filem ‘The Most Dangerous Man In America’ di ibu pejabat organisasi itu dekat Sungai Besi, semalam.
Antara skandal terbesar negara yang mencatat kerugian melibatkan syarikat swasta dan GLC ialah Perwaja (RM18 bilion), skandal BMF (RM2.5 bilion) selain projek infrastuktur awam seperti empangan Bakun (RM2 bilion) dan Projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) (RM4 bilion).
Rafizi merujuk pembongkaran kes NFC yang mana dokumen dan maklumat disalurkan ‘orang dalam’. Justeru, katanya, NOW berperanan memberi perlindungan termasuk khidmat sokongan dan bantuan guaman terutama kepada pemberi maklumat.
“Kita mahu beri jaminan kepada pemberi maklumat bahawa NOW ada kepakaran dan pengalaman mengendali pendedahan,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah NOW, Akmal Nasir memaklumkan menerima puluhan e-mel setiap hari yang mencadang atau memberi maklumat mengenai salahlaku dan penyelewengan.
“Tapi yang penting ada bukti dan dokumen. Walaupun pemberi maklumat mengguna nama samaran, kami terima. Seperti kes NFC sebelum ini, pemberi maklumat sulit itu menghantar dokumen dengan emel lembu@gmail.com,” katanya ketawa.
Tambahnya, NOW kini menerima lebih 50 permohonan untuk menjadi sukarelawan dan siri kursus pemberi maklumat akan diadakan di beberapa lokasi di seluruh negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.