Halaman

Isnin, 24 September 2012

Shabery Cheek: Tiada keperluan pelajar di luar negara pulang mengundi


KUALA LUMPUR — Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini berkata tiada keperluan untuk penuntut Malaysia di luar negara untuk pulang ke negara ini dan mengundi pada pilihan raya kerana Malaysia tidak mewajibkan rakyatnya untuk mengundi.

Menteri belia dan sukan itu menjelaskan Malaysia mengamalkan tahap demokrasi yang mana tidak mewajibkan rakyatnya mengundi walaupun telah mendaftar sebagai pengundi.

“Kita tiada lagi peringkat nak kerah pelajar kita balik masa mengundi, kita sendiri tidak tahu bila pilihan raya.

“Jika pilihan raya jatuh pada tarikh sama mereka menghadapi peperiksaan, dan mereka perlu kembali ke tanah air untuk mengundi... ia tidak adil.

“Tapi kalau cuti mereka boleh balik dan mengundi, terpulang kepada mereka (pelajar),” katanya yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno.

Tambahnya, Malaysia mengamalkan dasar “undi itu pilihan” dan tidak wajib bagi mereka yang mendaftar pemilih untuk mengundi.

“Kita mengundi tidak wajib, kita negara demokrasi, daftar itu adalah pilihan...  dah daftar, nak undi atau tidak, tiada masalah.

“Belum ada undang-undang wajibkan mereka balik mengundi,” katanya merujuk kepada pelajar yang menyambung pengajian di luar negara.

Jelas Ahmad Shabery lagi, rangkaian Umno di luar negara sudah cukup untuk pelajar  bersandar soal tentang kebajikan hubungan dengan kerajaan.

“Walaupun pembangkang sentiasa hantar orang berkempen, burukkan kerajaan, demonstrasi di kalangan pelajar, tapi rakyat di sana, sama dengan masyarakat kampus di negara ini, mereka yakin tiada kerajaan seperti kerajaan sekarang,” kata ahli Parlimen Kemaman itu lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.