| Muhammad Faizal, |
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) mempertikaikan tindakan kerajaan yang menggunakan kaedah semakan berpusat bagi memproses semua imej yang dirakam melalui kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dikendalikan oleh syarikat swasta.
Pengerusi Kase, Datuk Mahfuz Omar yang memberitahu kalau sebelum ini segala imej rakaman dikendalikan oleh pihak polis namun AES pula di peringkat awal diuruskan oleh dua syarikat swasta sebelum dihantar kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum dikeluarkan notis.
"AES dengan saman ekor yang dikendalikan oleh pihak polis sebelum ini adalah saman, yang membezakan adalah proses pengesahan imej dan juga notis itu dikeluarkan.
"Kalau dulu polis membuat pengesahan dan mengeluarkan notis tetapi AES pula imej dirakam akan disahkan melalui pusat semakan terlebih dahulu sebelum ia dihantar ke JPJ untuk pengeluaran notis," jelasnya pada sidang media di lobi parlimen.
Tambahnya, kaedah ini menimbulkan banyak masalah kerana pusat semakan tersebut boleh menentukan apa yang ingin mereka lakukan terhadap semua imej yang dirakam.
"Ini bermakna pihak JPJ tidak mempunyai apa-apa maklumat dan segalanya ditentukan oleh pusat semakan yang dikendalikan oleh dua syarikat swasta.
"Apa yang diserahkan kepada pusat tersebut akan dituruti oleh JPJ untuk mereka keluarkan notis dan apa akan jadi jika gambar-gambar tersebut diubah suai," soalnya.
Mahfuz menjelaskan, mereka boleh menghantar apa sahaja yang mereka kehendaki apatah lagi jika kadar saman itu tidak mencapai mengikut perjanjian kewangan yang telah dipersetujui antara kerajaan dengan dua syarikat tersebut.
"Kalau meter teksi pun boleh diubah dengan tujuan untuk mengaut keuntungan apatah lagi rakaman imej tersebut, jadi isu ini sangat besar dan kita perlukan penjelasan dari kementerian," sambung beliau.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga turut mempertikaikan lokasi yang telah ditetapkan untuk pemasangan AES yang dikaitkan kawasan maut.
"Kementerian menyatakan senarai lokasi maut itu dicadangkan oleh pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalanraya Malaysia (Miros) bukannya pihak polis.
"Tetapi saya mempunyai maklumat yang dikeluarkan oleh Bahagian Keselamatan, Jabatan Kerja Raya yang mengatakan jumlah kemalangan maut dan kawasan yang berlaku dari tahun 2002 hingga 2012," jelasnya.
Kata beliau lagi, laporan yang dikeluarkan JKR tidak menunjukkan terdapat lebih 200 lokasi yang ada kemalangan maut tetapi apa yang ditetapkan oleh AES mengatakan terdapat 565 kawasan.
Mahfuz mengharapkan pemasangan AES ini dihentikan dengan segera dan perbincangan perlu dilakukan dengan rakyat termasuk pihak JPJ, Polis, Miros dan JKR bagi menentukan kawasan lokasi maut yang sebenarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan