Seorang
warga emas kerugian lebih RM2,000 selepas ditipu sekumpulan wanita yang
menjual produk kesihatan di Kampung Paya, Tanah Liat di Bukit Mertajam
bagi merawat masalah kesihatan yang dialaminya.
Mangsa Aminah Yaacob, 67, mendakwa sekumpulan wanita terbabit datang ke kampungnya dan memberi pemeriksaan kesihatan percuma kepada orang ramai terutama warga emas sepertinya.
"Mereka buat pemeriksaan percuma kepada penduduk kampung pada 1 Oktober lepas dan ketika itu seorang daripada wanita terbabit maklumkan mak cik yang tekanan darah dan kandungan gula dalam darah tinggi.
"Dia mencadangkan agar mak cik guna satu produk kesihatan keluaran syarikat mereka dan selepas setuju mereka datang ambil mak cik di rumah kira-kira pukul 10 malam hari yang sama,' katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di Bukit Mertajam hari ini.
Aminah berkata dia dibawa ke pejabat syarikat berkenaan di Taman Bagan, Butterworth dekat Bukit Mertaja dan diberi penerangan berhubung produk kesihatan keluaran syarikat barang kemas terkenal itu.
"Seorang daripada pekerja di situ (wanita) suruh mak cik beli tiga kotak produk kesihatan yang berharga RM632 setiap satu, tetapi mak cik hanya beli sekotak dan bayar RM300 sahaja dan baki selebihnya akan dijelaskan pada hari lain.
"Mereka beritahu jika hendak bayar separuh perlu cagaran sama ada buku akaun, geran tanah atau barang kemas dan dalam tempoh 60 hari barangan yang dicagarkan akan dipulangkan," katanya.
Tanpa mengesyaki apa-apa, Aminah berkata dia menyerahkan seutas rantai tangan emas bernilai lebih RM2,000 kepada pekerja syarikat itu sebagai cagaran.
Bagaimanapun anaknya Mohd Taufik Abdul Razak, 47, yang curiga dengan tindakan ibunya itu menghubungi syarikat berkenaan untuk meminta rantai tangan ibunya dipulangkan.
"Ketika dihubungi, pekerja itu meminta saya membayar RM800 lagi jika mahu barang kemas tersebut. Malah lebih mengejutkan apabila pekerja itu mendakwa barang kemas ibu saya telah dicagarkan pihak syarikat kepada sebuah bank tanpa pengetahuan kami," katanya.
Mohd Taufik mendakwa selain ibunya, beberapa lagi penduduk kampungnya turut mengalami masalah yang sama dan dia berharap polis dapat mengambil tindakan segera.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan