Ahli Parlimen Tanjung Karang itu mendakwa
cadangan penjualan lima aset bangunan PKNS telah mendapat kelulusan
Lembaga Pengarahnya.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tanjung Karang Datuk Seri Noh Omar hari ini mencabar Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar menafikan dakwaan bahawa Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah bersetuju menjual lima aset bangunan milik PKNS.
“Saya mahu Menteri Besar Selangor tampil ke depan dan menafikan dakwaan bahawa lima bangunan PKNS akan dijual,” kata Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dalam satu sidang media di lobi Parlimen.
Bangunan yang dimaksudkan adalah Menara PKNS, Petaling Jaya pada harga RM90 juta, SACC Mall di Shah Alam (RM97 juta), PKNS Shah Alam (RM88 juta), PKNS Bangi (RM42 juta) dan Wisma Yakin di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada harga RM7 juta. Kesemua bangunan tersebut berjumlah RM321 juta.
Menurut beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, penjualan aset tersebut telah pun mendapat kelulusan Lembaga Pengarah PKNS.
“Saya tak tuduh ‘menteri besar cemerlang’. Kalau (dakwaan) saya tidak betul, esok saya akan bawa bukti,” Noh menyindir sambil merujuk kepada pujian Ketua Pembangkang merangkap Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung prestasi Abdul Khalid sebagai menteri besar.
Beliau turut menyindir Abdul Khalid yang dirujuk dengan gelaran menteri besar cemerlang.
“Macam mana cemerlang? Cemerlang habiskan harta, cemerlang bailout Talam, cemerlang tak bayar hutang, cemerlang janji tak tertunai, cemerlang pandang rendah terhadap kepakaran tempatan,” sindir Noh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.