Halaman

Isnin, 22 Oktober 2012

Umno rakus sebabkan rakyat Sabah paling miskin – Anwar

Oleh Norutul Ilham

KUALA LUMPUR : Kerakusan pemimpin Umno menyebabkan rakyat Sabah paling miskin walaupun negeri itu mempunyai kemewahan hasil bumi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berbeza di negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat (Pakatan), Ketua Pembangkang itu mengambil contoh kejayaan kerajaan Selangor meningkatkan hasil kewangan negeri dalam tempoh empat tahun mentadbir.

“Selangor lebihan wang kita RM2 bilion, Pulau Pinang pula lebihan wang RM2 bilion, tapi dikatakan kerajaan negeri Pakatan tidak tahu mentadbir.



“Najib (Razak) yang memerintah baru tiga tahun, hutang negara sudah cecah lebih RM500 bilion, tapi negara kata Najib Menteri Kewangan pandai…pandai berhutang!,” katanya disambut sorakan 200 hadirin ketika berucap pada program sarapan pagi bersama pimpinan di padang Desa Ayer Hitam, Puchong semalam sempena Jelajah Merdeka Rakyat ke Selangor.

Ketua Umum KEADILAN itu berkata, siri jelajahnya ke Sabah memberi impak besar kepada rakyat di sana yang mahu negeri itu turut mengalami perubahan seperti Selangor.

“Modal besar di Sabah adalah Selangor dan negeri-negeri Pakatan. Bukan senang nak jelaskan kepada mereka, tapi sejak beberapa kali saya ke Sabah, rakyatnya sudah berubah.

“Dengan penerangan itulah, Sabah juga mahu berubah seperti Selangor. Kita tidak serang Najib atau sanggul Rosmah (Mansor), tapi kita beritahu cara pentadbiran Pakatan,” katanya.



Penasihat Ekonomi Selangor itu menyeru rakyat khususnya di Selangor mengekalkan pentadbiran Pakatan.

“Selangor bukan tanggungjawab Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) atau Ahli Parlimen, ia milik rakyat, jadi rakyat Selangor bertanggungjawab untuk pilih pimpinan.

“Dalam Umno, susah kita nak cari pemimpin yang pegang amanah. Sebab itu dalam politik kalau kita bohong dan tidak buat, kita kena tahu hukumnya,” kata Anwar.



Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga, Rodziah Ismail; Adun Taman Medan, Haniza Talha; Adun Pandamaran, Ronnie Liew; Adun Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar; Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.