HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 November 2012

Dua minggu atau sebulan tempoh sesuai umum calon BN

SINAR HARIAN

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
 
KUALA LUMPUR - Pemuda Barisan Nasional (BN) berpendapat jarak masa dua minggu atau selewat-lewatnya sebulan sebelum pilihan raya umum adalah tempoh paling sesuai sekiranya cadangan menamakan calon BN lebih awal dilaksanakan.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, bukan setiap kawasan bersedia diumum calon awal disebabkan faktor dalaman dan risiko lain yang perlu ditangani terlebih dahulu.

“Nak umum sekalipun jangan umum enam bulan sebelum pilihan raya. Daripada kita umum dua hari sebelum penamaan calon, BN boleh umum dua minggu atau sebulan, itu sesuai,” katanya.

Menurutnya, langkah menamakan lebih awal calon itu juga boleh dilaksanakan terlebih dahulu di kawasan dikenal pasti majoriti pengundinya menyokong BN.

Kawasan sesuai dipertimbang bagi penamaan itu perlu mempunyai calon yang jelas dan diterima masyarakat seperti kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan dan kawasan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pagoh.

Pada 26 Oktober lalu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, BN mungkin akan menamakan calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lebih awal berbanding pilihan raya sebelum ini.

Mengulas calon dalam kalangan Pergerakan Pemuda Umno, Khairy berkata, pergerakan itu ada meminta Najib selaku Pengerusi BN memilih calon daripada pergerakan itu untuk bertanding di bawah panji BN pada PRU13 nanti.

“Kami minta, tapi kami tak tuntut peratusan atau bilangan berapa ramai calon Pemuda dipilih kerana yang penting kami perlu ada ‘winnable candidate’ yang dipilih Pengerusi BN (Najib) sendiri bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

“Senarai Pemuda (Umno) yang sudah diserah kepada Pengerusi BN hanya pusingan pertama, masih ada pusingan kedua dan seterusnya, masih ada tapisan lagi selepas ini. Maka kami tak tahu siapa akan dipilih dalam kalangan Pemuda,” katanya.

Beliau berkata, pergerakan itu sedang melipat gandakan usaha bagi memastikan empat negeri yang kini diterajui pembangkang akan kembali ke pangkuan BN. - Bernama

Tiada ulasan: