SINAR HARIAN
LANGKAWI - Kajian terhadap kenaikan gaji penjawat awam yang sudah
mencapai had gaji maksimum akan hanya dijalankan sekiranya Suruhanjaya
Khas yang ditubuhkan bagi mengkaji transformasi perkhidmatan awam
selesai Disember ini, tetapi tidak membuat sebarang cadangan
mengenainya.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata, Suruhanjaya
Khas itu telah pun mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan
Awam dan hasilnya akan dibentang Disember ini.
"Kita lihat apa idea baru Suruhanjaya itu. Jika tiada pembaharuan, kita
akan mulakan kajian (kenaikan gaji) mulai Disember ini juga," katanya
kepada Bernama semasa ditanya mengenai perkembangan terhadap kajian gaji
penjawat awam yang sudah mencapai tangga maksimum.
Beliau baru-baru ini mengumumkan kajian itu tertumpu kepada penjawat
awam yang sudah mencapai had gaji maksimum, daripada dua hingga lima
peratus dan akan diberi kepada mereka yang memperoleh markah penilaian
dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) melebihi 80 peratus.
Ali ditemui selepas merasmikan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif
Perkhidmatan Awam peringkat kebangsaan kali ke-29 di sini semalam.
Beliau berkata, kajian itu juga untuk mengetahui jumlah kakitangan awam
yang terlibat serta implikasi kewangan kepada kerajaan selain memberi
keadilan kepada mereka yang tidak diberi anjakan gaji atau kenaikan
pangkat selepas mencapai gaji maksimum.
Menurutnya, antara cadangan yang boleh dikemukakan dalam kajian
berkenaan ialah golongan tersebut diberi kenaikan pangkat atau kenaikan
gaji biasa. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.