Pindaan itu akan dibentangkan dalam Dewan Rakyat sesi akan datang selepas mendapat 'lampu hijau' daripada pejabat Peguam Negara.
Sekitar Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR: Kerajaan bertegas untuk meneruskan rang undang-undang pindaan Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi membolehkan perogol bawah umur 16 tahun dikenakan hukuman penjara mandatori.
Pindaan itu bertujuan supaya hukuman penjara mandatori di bawah Seksyen 376 dikekalkan, dan hakim tidak boleh mengguna pakai Seksyen
294 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) yang memberikan mahkamah kuasa budi bicara agar hukuman diringankan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pindaan itu akan dibentangkan dalam Dewan Rakyat sesi akan datang selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada pejabat Peguam Negara.
“Tanggungjawab kerajaan untuk melindungi gadis bawah umur. Cadangan ini disokong Ahli Parlimen, Peguam Negara, serta badan bukan kerajaan (NGO) maka kita kita tidak akan teragak-agak untuk teruskannya.
“Dengan statistik purata empat gadis bawah umur dirogol dalam sehari menunjukkan betapa seriusnya kes ini, sebab itu kita mahu pinda undang-undang lebih tegas bagi menangani isu ini,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.
Katanya, hukuman penjara mandatori akan terpakai dengan segera dalam undang-undang kehakiman sejurus selepas pindaan itu diluluskan Dewan.
Mengulas mengenai desakan Gabungan NGO untuk Kesaksamaan Gender (JAG) yang menentang pindaan itu kerana menganggap ia tidak adil terhadap pesalah jenayah seksual, Nazri berkata legislatif mempunyai kuasa menentukan bidang kuasa kehakiman.
“Hukuman mandatori ini untuk perogol bawah umur, bukan keseluruhan kes jenayah rogol. Kalau mereka nak biarkan gejala ni berterusan itu terpulang,” katanya.
JAG yang terdiri daripada 39 NGO sebelum itu menyerahkan petisyen kepada Nazri di Parlimen meminta supaya kuasa budi bicara hakim dikekalkan.
Malah, mencadangkan supaya pendekatan lebih mendalam seperti penubuhan lembaga penasihat hukuman atau garis panduan rasmi penghukuman diwujudkan bagi membentuk undang-undang yang lebih adil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan