Halaman

Selasa, 6 November 2012

Terkilan dengan layanan Jabatan Imigresen

Nurul Khairani Choi bt Abdullah,

Saya ialah seorang Muslimah Cina kurang upaya penglihatan dan telah memeluk Islam tiga tahun lalu. Izinkan saya untuk berkongsi sedikit curahan rasa terhadap layanan yang saya terima daripada Jabatan Imigresen Malaysia yang pada hemat saya tidak wajar serta mesti diperbaiki.

Saya berhasrat untuk ke luar negara tahun hadapan. Justeru, saya kini dalam proses mendapatkan pasport antarabangsa yang telah dipohon sebulan lalu. Semasa proses memohon ini, saya telah diminta untuk memfailkan segala dokumen peribadi termasuk kad Islam, kad OKU dan surat sumpah akuan pengIslaman agar segala butiran peribadi dan identiti diri saya dipastikan benar-benar sama. Setelah lengkap kesemua dokumen peribadi tersebut, saya pergi ke pejabat itu pada hari Khamis, 25 Oktober, 2012, iaitu kunjungan saya yang kedua. Lantas petugas yang menyambut dokumen saya itu meminta saya kembali semula lima hari kemudiannya.

Saya datang semula pada hari yang diminta iaitu pada Jumaat, 2 November, 2012 dan sampai pada pukul 12:00 tengah hari, saya diminta untuk pulang semula ke rumah dan hanya dapat mengambil pasport tersebut pukul 2.30 petang dengan alasan sudah hampir waktu untuk solat Jumaat, atau kembali semula minggu berikutnya. Lantas, saya menurut arahan mereka dan kembali semula ke pejabat tersebut pagi Isnin, 5 November 2012. Malang lagi kecewa kerana akhirnya permohonan saya masih juga gagal diproses; alasannya pasport tersebut masih berada di bilik Pengarah dan sedang diaudit lagi.

Yang membuatkan saya terkilan ialah, di manakah kini tahap kecekapan sebuah agensi penting kerajaan sebegitu? Mengapa pula bila terdapat ahli keluarga saya yang normal (berpenglihatan sempurna), dengan proses permohonan yang sama, tidak perlu berulang-alik ke pejabat tersebut; memadai hanya menunggu selama dua jam, pasport yang dipohon telah diperoleh?

Jika benar terdapat mana-mana butiran yang kelihatan tidak sama seperti nama asal pada surat kelahiran dan kad pengenalan diri, bukankah itu sahaja telah dapat menunjukkan yang saya adalah seorang Muslimah, lalu, apa lagi yang perlu mereka ragukan? Tidakkah boleh mereka untuk lebih mempermudahkan urusan dengan bersama membantu saya menyelesaikan sebarang permasalahan yang timbul, daripada saya diminta berulang-alik bertemu mereka untuk sekian kali, sekaligus membazirkan masa dan wang tambang perjalanan saya? Bayangkan, dengan keadaan saya yang berpenglihatan terhad dilayan sebegitu rupa, bagaimana pula nasib rakan-rakan OKU lain?

Oleh itu, saya berharap kejadian sebegini tidak berulang lagi pada masa akan datang. Sewajarnya mana-mana agensi, sama ada kerajaan mahupun swasta, yang berkhidmat untuk orang ramai, lebih mesra-pelanggan dan cekap bagi meminimakan apa juga permasalahan yang timbul demi faedah bersama. Malah, dengan perkhidmatan yang bersifat "keperluan-sensitif", akan turut mengundang rasa penghargaan pelanggan, manakala pihak pemberi khidmat pula, pencapaian prestasi optima juga mampu diraih, ditambah beroleh keberkatan dan rahmat Allah SWT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.