Halaman

Khamis, 1 November 2012

Tuduh S’ngor amal perakaunan kreatif, Kelab Penyokong BN perkecil LKAN

Oleh Norutul Ilham

KUALA LUMPUR 1 November: Tuduhan Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) mengatakan Kerajaan Selangor mengamal perakaunan kreatif supaya negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat itu nampak elok dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) tidak berasas.



Menempelak tuduhan itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, BNBBC memperkecilkan keupayaan Ketua Audit Negara dan kakitangan awam yang menyediakan laporan penuh tertib dan profesional itu.

Menurut Khalid, penyata kewangan kerajaan negeri disediakan mengikut piawaian perakaunan kerajaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia dan selaras dengan kehendak piawaian tersebut.

“Sistem Perakaunan Berkomputer Standard Kerajaan Negeri (Speks) yang digunapakai oleh Selangor bagi mengakaunkan semua urusniaga bayaran dan terimaan adalah sistem perakaunan bersepadu yang dibangunkan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia untuk semua kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di Shah Alam semalam.

LKAN 2011 dilaporkan mengakui penyata kewangan Selangor secara keseluruhan menunjukkan gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan kerajaan negeri bagi tahun berakhirnya 31 Disember 2011.

“Kerajaan Selangor sentiasa mengingatkan kakitangan awam supaya mengamalkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam menjalankan tugas serta berjimat cermat dalam meluluskan perbelanjaan.

“Ini antara faktor menjadikan kedudukan kewangan Kerajaan Selangor diklafikasikan sebagai ‘baik’ oleh Jabatan Audit Negara dengan peningkatan dari segi wang simpanan, hasil pelaburan dan pengurusan kewangan,” jelas Menteri Besar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.