SINAR HARIAN
PUTRAJAYA - Seorang rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang semasa
kejadian tebusan di In Amenas, Algeria disahkan terbunuh oleh Kedutaan
Besar Malaysia di Algiers, manakala nasib seorang lagi masih belum
diketahui.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata keluarga mangsa yang
terbunuh, Chong Chung Ngen, telah dimaklumkan mengenai berita tersebut
manakala kedutaan sedang bekerjasama rapat dengan syarikat JGC
Construction Pte. Ltd, untuk menguruskan proses membawa pulang mayat ke
Malaysia.
"Kerajaan Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada anggota keluarga mendiang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, kebanyakan tebusan asing yang terbunuh semasa kejadian tersebut telah dibawa ke Algiers.
Mengenai seorang lagi rakyat Malaysia yang masih hilang, Tan Ping Wee,
Anifah berkata kementerian menghantar seorang diplomat kanan untuk
membantu kedutaan di sana bagi mempercepatkan usaha mencari, serta
memastikan koordinasi yang diselaraskan dengan pihak berkuasa Algeria
berjalan lancar.
Beliau berkata pada masa sama kementerian dan kedutaan telah pun
membuat jalinan hubungan dengan negara-negara di mana rakyat mereka
terlibat dalam kejadian tersebut untuk mendapatkan maklumat terkini dan
berkongsi maklumat risikan.
Dalam perkembangan lain Anifah berkata tiga rakyat Malaysia yang disahkan selamat kini berada di Algiers.
Persediaan telah diatur kedutaan untuk membawa pulang Ravi Kappusamy
dan Lau Seek Chiang manakala Patrick Purait Awang secara sukarela mahu
berada di Algiers untuk sementara waktu bagi membantu mengenal pasti
rakannya, kata beliau.
Dalam insiden yang berlaku minggu lepas, lima rakyat Malaysia antara
130 pekerja dari pelbagai negara di Kompleks Pengeluaran Gas dan Minyak
(OGPC) Amenas, timur Algeria menjadi mangsa tebusan kumpulan militan.
Insiden itu dipercayai berpunca daripada balas dendam terhadap tindakan
kerajaan Algeria membenarkan ruang udaranya digunakan pesawat tempur
Perancis untuk menyerang pemberontak Islam di Mali. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.