| Subky Latif, |
Adalah dipercayai seruan dibuat bagi mengelakkan para dakwah memihak kumpulan politik yang bersaing untuk merebut pengaruh menegakkan kerajaan. Persaingan itu adalah kaedah yang dibenarkan oleh demokrasi dan demokrasi itu adalah yang terbaik selepas Islam.
Orang dakwah yang memihak sekalipun tepat dari kacamana Islam, sentiasa dianggap buruk oleh masyarakat yang tidak terbuka. Bagi orang pemikiran tidak terbuka berkecuali adalah yang terbaik.
Yang dibimbangkan dengan dai yang menjauhkan politik atau tidak terlibat dalam politik, boleh tergelincir dari kehendak Islam.
Tujuan manusia dicipta adalah untuk menjadi khalifah, satu tugas yang tidak diberi kepada jin. Jin untuk beribadat saja. Manusia untuk beribadat dan menjadi khalifah. Sebagai khalifah dalam solatnya ia berikrar, ‘Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku kerana Allah.’
Hidup itu meliputi semua gerak dan kegiatan selepas lahir hinggalah mati. Ibadat, solat, belajar, makan, kahwin dan lain-lain adalah kegiatan orang hidup. Antara yang terpenting dalam hidup itu ialah mentadbir kehidupan. Inilah politik.
Dan Islam sebagai addin pula hanya sempurna apabila ia meliputi politik. Jika politik dipisahkan daripada Islam, tidak lagi ia jadi addin. Jadilah Islam itu sebagai lain-lain agama yang memisahkan agama dengan politik. Itulah yang dinamakan sekular.
Sempurna Madinah sebagai model negara dan pemerintahan Islam kerana politiknya ditangan umat, Yahudi dan Nasrani tertakluk dengan peraturan politik pentadbiran Rasulullah SAW. Yahudi dan Nasrani tidak tertakluk kepada solat, ibadat dan dakwah Islam tetapi mereka tunduk kepada peraturan politik.
Agama dipisahkan daripada politik di Tanah Melayu setelah dijajah barat yang agamanya memisahkan politik dengan agama. Di situlah bermula ajaran sekular membelenggu umat Islam.
Bukan orang politik saja terbelenggu oleh fahaman sekularisma. Setengah jamaah Islam juga terbelenggu apabila berpendapat tiada politik dalam Islam dan bencinya pada politik itu kerana sifatnya yang kotor.
Politik itu asalnya bersih dan suci sama seperti sucinya Islam yang dibawa sejak Adam AS hingga Rasulullah SAW. Tetapi ada Anak Adam yang mengotorinya hingga wujud ajaran sesat dalam Islam. Demikianlah politik itu kotor kerana kotori oleh orang politik termasuk orang Islam yang berpolitik tidak berpolitik seperti yang dianjur Islam.
Pendakwah yang mengira tiada politik dalam Islam itu telah memisahkan politik daripada Islam. Apa lagi kalau ia bukan sekular.
Dalam pertembungan politik sesama Islam antara yang menjadikan Islam sebagai garis politik dengan yang tidak menganut politik Islam, cerdik pandai Islam tidak suka politik termasuk politik menyarankan agar pendakwah berkecuali daripada isu politik. Kata Ayatullah Khomeini, ulama dan dai yang tidak berpolitik ini adalah ulama dan dai haid dan nifas.
Orang Islam dibenarkan berkecuali jika dia tidak dan keliru atas satu-satu isu. Kewajipan orang Islam ialah mengkaji dan menyelidik apa-apa yang dia tidak tahu supaya dia tahu dan yang keliru keluar dari kekeliruan. Sesudah dia tahu dan tidak keliru lagi, tidak boleh lagi dia berkekcuali. Dia mesti memihak kepada yanag benar.
Allah kutuk orang yang menyembunyikan kebenaran. Mengapa Yahudi dan ulamanya dilaknat ialah menyembunyikan kebenaran.
Orang Islam tidak boleh lari dari ciri tugas khalifah atau menjauhkan diri daripada politik Islam. Jika dia tidak mahu jadi aktivis politik, dia mesti tunduk dan bersama dengan politik Islam.
Kebimbangan kita ialah penyeru kepada dai tidak terlibat dalam politik terperangkap dalam propaganda kaum sekularis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan