SINAR HARIAN
SEREMBAN - Pembinaan stadium milik Felda di Jengka, Pahang dijangka
bermula awal bulan depan dan siap dalam tempoh dua tahun, kata Pengerusi
Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Beliau berkata kontraktor untuk pembinaan stadium itu dilantik minggu lepas.
Stadium baharu ini dianggar menelan belanja sekurang-kurangnya RM80
juta dan boleh menampung 30,000 penonton, katanya kepada pemberita di
sini hari ini.
Menurut Mohd Isa, pembinaan stadium itu adalah fasa pertama dalam
pembinaan kompleks sukan bersepadu yang meliputi pembinaan beberapa
kemudahan sukan lain.
"Bagaimanpun ini bergantung kepada pemaju kita yang juga mempunyai
tanah. Ini mengikut perbincangan kita untuk fasa kedua. Fasa pertama
dikhususkan untuk pembinaan stadium baharu ini," katanya.
Mengulas isu berkaitan, Mohd Isa berkata Felda merancang untuk
mewujudkan tiga lagi akademi bola sepak iaitu di Gua Musang, Kelantan;
Alor Setar, Kedah dan satu lagi di selatan tanah air.
Setakat ini Felda memiliki sebuah akademi bola sepak di Kuantan, Pahang, katanya.
Terdahulu beliau menyampaikan sijil dan anugerah kepada 50 anak Felda
yang menjalani latihan bola sepak di Akademi Bola Sepak Cardiff City di
Wales, United Kingdom dari 11 Nov hingga 5 Dis lepas.
Program itu diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
ketika melancarkan Liga Bola Sepak 1Malaysia- Cardiff City (Liga 1MCC)
di ibu negara April lepas.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi 1Malaysia Cardiff City Football
Academy Sdn Bhd Datuk Chan Tien Ghee. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.