APAKAH ada jaminan pihak yang mengkritik kerajaan sedang memerintah tidak dikenakan sebarang tindakan undang-undang apabila melakukan perkara serupa terhadap kerajaan pengganti?
Demikian antara persoalan yang menarik perhatian hadirin dan panelis Program Bicara Buku di Dewan Serba Guna Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Shah Alam pada 22 Januari lalu.
Program anjuran PPAS dan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) itu memperkatakan buku Catatan Hujung dan Detik Utopia, karya Ahmad Lutfi Othman. Ahli panel terdiri daripada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad; Lim Hong Siang dan aktivis pelajar, Adam Adli. Kassim Muhamad dari Paksi bertindak sebagai pemudah cara.
Perkara itu dibangkitkan salah seorang hadirin semasa sesi perbincangan dengan memberi contoh Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako yang dihukum penjara (pada 1948-1953) akibat menentang penjajah (Inggeris), tetapi dipenjarakan juga (1965-1966) apabila mengkritik kerajaan selepas negara mencapai kemerdekaan.
Peserta berkenaan juga seperti “bimbang” Lutfi akan menerima nasib serupa jika Pakatan Rakyat memerintah negara selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerana Ketua Pengarang Harakah itu mengkritik mana-mana kerajaan yang melakukan penyelewengan semasa berkuasa.
Ertinya, baik kerajaan Umno-BN mahupun kerajaan Pakatan Rakyat, jika bersalah tetap bersalah pada penilaian Lutfi.
Dalam responsnya, Khalid menegaskan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak bertindak terhadap mana-mana demonstrasi anjuran pembangkang (Umno-BN) selama berkuasa setakat ini.
Tambah beliau, kira-kira 60 peratus kakitangan kerajaan negeri diketahui menyokong Umno-BN, tetapi mereka tidak ditukar ke tempat lain atau dipecat. Ketua pihak berkuasa tempatan yang menyebelahi Umno-BN juga tidak dikenakan apa-apa tindakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim kerana khidmat mereka baik dan memuaskan.
Walaupun jawapan Khalid itu tidak menyeluruh, bukti atau contoh yang diberikannya memberi gambaran demikianlah juga apabila kerajaan Pakatan Rakyat menjadi kerajaan pusat selepas PRU13 nanti.
Sewaktu membicarakan kedua-dua buku tersebut, Khalid menyebut bahawa kerajaan Umno-BN yang selama ini membodohkan rakyat untuk terus berkuasa. Kata beliau, kerajaan Umno-BN takut rakyat cerdik kerana itu akan membuat ia tumbang.
Khalid menyifatkan amalan tersebut sebagai “budaya Hang Nadim”. Jelas beliau, kerajaan Umno-BN tidak mahu rakyat bijak seperti Hang Nadim, kanak-kanak dalam Sejarah Melayu yang turut dijadikan filem Singapura di-Langgar Todak oleh Malay Film Productions pada 1961 (arahan Omar Rojik;
lakonan Aziz Ja’afar, Hashimah Yon, S Kadarisman, dan Kuswadinata dengan Bat Latiff sebagai Hang Nadim).
Sementara itu, tegas Adam, kita meraikan demokrasi, tetapi penguasa “memotong lidah” mereka yang mengemukakan pendapat yang bertentangan dengannya.
Kata Adam lagi, wartawan atau pengamal media adalah penyambung lidah masyarakat kepada penguasa. Bagaimanapun, jika lidah itu dipotong penguasa, apa lagi yang boleh diharapkan. Tambahnya, demokrasi di negara ini hanya kepunyaan penguasa.
Mengenai kedua-dua buku Lutfi itu, Adam berpendapat Catatan Hujung wajar dibaca terlebih dahulu kerana anak muda perlu memahami peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum tsunami politik 2008.
Katanya, Catatan Hujung adalah dokumentasi penting bagi generasi muda, sementara Detik Utopia pula untuk meneliti peristiwa-peristiwa yang berlaku hari ini.
Lim yang juga bekas editor Merdekareviews.com pula menganggap walaupun pengarang dan wartawan tertekan dengan deadline, laporan berita bukanlah tugas yang paling mencabar. Yang mencabar dalam laporan berita, katanya, adalah kesahihan, ketepatan, dan ketangkasan berita itu dihidangkan.
Tambah Lim, walaupun pemberitaan itu boleh diolah dengan pelbagai sudut mengikut kepentingan dan keprihatinan penulis atau editorial, secara dasarnya berita tersebut mencerminkan realiti sungguhpun ia ditampilkan dengan dimensi yang berbeza.
Khalid pula mengakui wartawan menulis untuk berjuang menentang penyelewengan oleh pemerintah. Katanya, peranan itu tidak dapat dihalang kerana wartawan terlibat secara langsung dengan peristiwa yang berlaku melalui penulisan.
Pengarah PPAS, Mastura Muhamad; Presiden Paksi, Dinsman serta AJK Paksi seperti Shukor Harun, Razali Endun dan Hasni Abas turut menghadiri program tersebut.
Sementara Lutfi yang turut hadir menegaskan bahawa kebebasan media tidak datang sendiri, tetapi perlu diperjuangkan tanpa henti. Tambah beliau, tiada ahli politik yang menyukai kebebasan media.
Bagaimanapun, perkara itu perlu agar media dapat membuat liputan yang adil dalam membasmi penyelewengan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.