Halaman

Sabtu, 23 Februari 2013

MB Terengganu akui kontraktor lemah punca bumbung runtuh kali kedua


KUALA LUMPUR — Kelemahan kontraktor yang dilantik adalah punca bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh buat kali kedua semalam, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said sambil menyangkal dakwaan pembangkang yang menyalahkan kerajaan negeri dalam insiden tersebut.

Menurut Ahmad Said, kontraktor yang dilantik tidak mematuhi persetujuan awal dengan kerajaan negeri dalam menjalankan kerja membaiki struktur bumbung apabila hanya menggunakan satu kren walaupun seharusnya empat kren digunakan.

“Saya anggap kejadian ini (runtuhan struktur bumbung) adalah kelemahan kontraktor,” kata Ahmad Said yang dipetik daripada akhbar Sinar Harian.

“Semasa kita bincang pun, ia mesti ada sekurang-kurangnya empat kren besar untuk sokong struktur bumbung berkenaan tetapi mereka guna satu kren sahaja,” tambah beliau lagi.

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum bumbung runtuh: MB Ahmad Said mengakui kelemahan kontraktor. — WikiMedia Commons
Beliau turut membidas kontraktor tersebut kerana cuai dalam menjalankan kerja serta menuduh mereka hanya mahu mendapatkan untung lebih kerana menggunakan satu kren sahaja.
 “Bagi saya struktur itu runtuh disebabkan kecuaian kontraktor,” tambahnya lagi. “Tapi mungkin pihak berkenaan hendak untung lebih banyak, maka mereka tak nak pakai kren banyak. Apabila mereka pakai satu kren saja, tak dapatlah nak menampung struktur berkenaan.”

Walaubagaimanapun, Ahmad Said tidak menyatakan tindakan akan diambil keatas kontraktor bertanggungjawab dan menyangkal dakwaan pembangkang yang menyalahkan kerajaan negeri berikutan kejadian itu yang menyebabkan tiga pekerna binaan tercedera.

“Kita (kerajaan) tak patut dipersalahkan, apabila tak kuat 'support', ia robohlah. Bukannya kerana stadium tak kuat, itu tak betul lah,” tegas Pengerusi Perhubungan Umno negeri itu lagi.

Pembinaannya stadium ini menelan belanja RM 270 juta dan telah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei 2008.

Pada 2 Jun 2009, bumbung utama stadium ini runtuh yang mana meliputi bumbung sepanjang 80 meter daripada keseluruhan 134 meter serta kawasan tempat duduk berbumbung termasuk pentas DiRaja.
Runtuhan dipercayai bermula pada bahagian tengah stadium yang menempatkan bilik tetamu kehormat (VIP) dan tempat duduk utama termasuk pentas diraja. 17 pekerja di Pusat Boling Si Diman dan dua pengawal keselamatan berjaya menyelamatkan diri.

Pada 12 Mac 2010, Ahmad Said mendedahkan kepada umum bahawa stadium ini runtuh kerana “tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam kontrak”.

Projek pembinaan stadium tersebut dijalankan di bawah penyeliaan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.