SPR telah melantik 16 NGO pemerhati tempatan
yang terdiri daripada lima dari Semenanjung, tiga dari Sabah dan lapan
dari Sarawak.
KUCHING: Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dilantik menjadi pemerhati tempatan bagi pilihan raya umum Ke-13 diingatkan supaya menjalankan tugas dengan jujur dan profesional sekali gus menjadikan pilihanraya tersebut yang terbaik dari segi sistem, proses dan pembaharuan pilihan raya.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pelbagai cadangan pembaharuan dan pembaikan sistem pilihan raya telah diterima hasil daripada pemantauan yang dilakukan sebuah jawatankuasa khas yang dilantik sebelum ini.
“Atas usaha yang dilakukan sebelum pilihan raya, maka kami di SPR dapat akan melakukan pelbagai pembaharuan dari segi sistem dan proses pilihan raya,” katanya ketika merasmikan majlis penyerahan surat pelantikan NGO sebagai pemerhati tempatan PRU13.
Hadir sama di majlis tersebut ialah Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Pengarah SPR Sarawak, Datu Takun Sunggah, serta ahli-ahli SPR, Datuk Mohamad Ramji Alli dan wakil-wakil tertinggi NGO yang dilantik.
Sehubungan itu, katanya, pihak SPR telah melantik 16 NGO pemerhati tempatan di seluruh Malaysia yang terdiri daripada lima dari Semenanjung, tiga dari Sabah dan lapan dari Sarawak.
Jelasnya, kesemua NGO yang telah dilantik tersebut berjaya memenuhi dan lulus syarat-syarat utama yang telah ditetapkan oleh SPR supaya bertindak sebagai pemerhati tempatan bagi PRU13 nanti.
Antaranya ialah mempunyai keupayaan yang bertindak sebagai pemerhati serta menjalankan tugas dengan jujur dan profesional, tidak berpihak kepada mana-mana parti (non-partisan), NGO tersebut menerima syarat lantikan dan bersetuju menerima syarat perlantikan serta akujanji dan bersedia menghantar laporan pemantauan dalam tempoh 30 hari selepas selesai PRU13.
“Jadi daripada syarat-syarat yang telah ditetapkan tersebut, maka NGO yang telah dilantik disaran agar melaksanakan tugas dengan telus, jujur dan profesional,” tegasnya.
Inisiatif SPR
Dalam pada itu, Aziz turut memberitahu bahawa pelantikan NGO terbabit sebagai pemerhati tempatan dalam PRU13 adalah satu keputusan dan inisiatif SPR sendiri dan bertujuan menyampaikan mesej kepada rakyat bahawa pilihan raya di negara ini adalah telus.
“Dengan pelantikan NGO ini sebagai pemerhati, ia adalah bukti bahawa tiada apa yang hendak disembunyikan semasa proses pilihanraya. SPR berharap langkah ini dapat membantu meningkatkan keyakinan orang awam terhadap SPR dan pilihan raya,” katanya.
Aziz berkata, NGO yang menerima perlantikan bertanggungjawab ke atas petugas yang dilantik mewakili mereka dan sesiapa yang didapati melanggar akujanji akan ditamatkan perkhidmatan.
Katanya antara perkara yang ditegah dalam pelantikan ialah pemerhati tidak boleh berkempen atau cuba meraih undi, menembubual atau mengganggu pengundi dan membuat kenyataan media selain melakukan perkara yang boleh mencetuskan ketegangan atau kekecohan semasa pilihanraya.
Selain itu, pemerhati juga diharapkan agar melakukan pemantauan semasa PRU13 secara keseluruhan yang melibatkan kawasan bandar dan luar bandar serta tidak hanya melakukan pemerhatian di sesuatu tempat sahaja.
Difahamkan, untuk NGO Sarawak yang terpilih ialah Persatuan Belia Islam Nasional Sarawak (Pembina), Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak, Persatuan Kebangsaan Orang Ulu Sarawak (OUNA), Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA).
Yang lain ialah Sibu Chinese Chamber of Commerce and Industry dan Persatuan Melanau Sibu, Persatuan Cina Miri dan Federation of Orang Ulu Association Malaysia (Forum).
Manakala NGO Sabah pula ialah Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Sabah, Persatuan Belia Sabah dan Persatuan Gabungan Cina Sabah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan