SHAH ALAM: Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rancangan memberikan pendidikan percuma dapat direalisasikan melalui kutipan sumber minyak dan kelapa sawit di negara ini.
Tegas beliau, hasil kutipan daripada sumber minyak dan sawit ini sahaja sudah mencecah RM150 bilion.
Maka perkara itu tidak mustahil dapat dilaksanakan sekaligus mengulangi janji beliau untuk memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 nanti.
“Dua ini sahaja (sawit, kelapa sawit) sudah RM150 bilion, ini tidak termasuk yang lain (pendapatan) termasuk cukai dan lain-lain.
“Kenapa RM150 bilion ini tidak boleh jamin pendidikan percuma? Sedangkan saya hendak tanya berapa hasil kelapa sawit untuk setahun? RM80 bilion, tahun 2010 merosot RM70 bilion,” katanya yang juga Ketua Pembangkang.
Beliau ditemui ketika memberikan ucapan di program Konvensyen Antarabangsa Pendidikan (KAP) 2013 di Universiti Selangor (Unisel) hari ini.
Pada Mac tahun lalu, cadangan pembangkang untuk menghapuskan pembiayaan PTPTN dibidas Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyifatkan ia tidak relevan.
Beliau berkata penghapusan pembiayaan PTPTN hanya akan mengurangkan semangat daya saing di kalangan pelajar di samping membebankan kerajaan kerana terpaksa mendirikan lebih banyak Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) untuk memberi pendidikan secara percuma kepada masyarakat.
Tindakan itu juga katanya akan mengurangkan permintaan terhadap institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam negara, seterusnya menyebabkan ia terus ditutup.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.