A. Kadir Jasin
Hakikat
tidak berlaku pembaikan penarafan media massa Malaysia dalam kajian
persepsi Reporters Without Borders (RWB/Pemberita Tanpa Sempadan) bagi
tahun 2011/2012 tidaklah memeranjatkan.Dalam penarafan terbaru itu, RWB
meletakkan Malaysia di kedudukan ke-122 daripada 179 negara yang dikaji
selidik. Ini meletakkan Malaysia setaraf dengan Algeria dan
Tajikistan, tetapi lebih buruk daripada Zimbabwe, Oman, Fiji dan
Kemboja.
Sebenarnya
kita tidak perlu dipandu oleh kajian pertubuhan-pertubuhan luar
seperti RWB untuk merasai yang media massa Malaysia menjadi semakin
tidak bebas dan tidak seimbang menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).
Jadi, tidak hairanlah kalau penarafan media massa Malaysia kekal di anak tangga ke-122 tahun lalu — sama seperti tahun 2011.
Akibat
cakap-cakap PRU yang berpanjangan, media massa Malaysia, khasnya media
arus perdana (MAP) yang dimiliki kerajaan atau oleh parti kerajaan
menjadi lebih tidak seimbang dalam laporan mereka.
Kajian penarafan RWB itu berupa kaji selidik (questionnaire) persepsi di kalangan organisasi sekutu yang meliputi 18 kumpulan kebebasan bersuara di lima benua. Turut memberi maklumat adalah 150 wakilnya di seluruh dunia serta wartawan, penyelidik, pakar perundangan dan aktivis hak asasi manusia. Soalan yang dikemukakan merangkumi kepelbagaian dan kebebasan media, persekitaran media, penapisan sendiri (self-censorship), perundangan, ketelusan dan infrastruktur media. Turut dipantau adalah pelanggaran hak wartawan, warga Internet (netizen), jurugambar dan jurukamera.
Kajian penarafan RWB itu berupa kaji selidik (questionnaire) persepsi di kalangan organisasi sekutu yang meliputi 18 kumpulan kebebasan bersuara di lima benua. Turut memberi maklumat adalah 150 wakilnya di seluruh dunia serta wartawan, penyelidik, pakar perundangan dan aktivis hak asasi manusia. Soalan yang dikemukakan merangkumi kepelbagaian dan kebebasan media, persekitaran media, penapisan sendiri (self-censorship), perundangan, ketelusan dan infrastruktur media. Turut dipantau adalah pelanggaran hak wartawan, warga Internet (netizen), jurugambar dan jurukamera.
Kesan pilihan raya ke atas media massa
Seperti
telah saya hujahkan beberapa kali sebelum ini, MAP menjadi lebih tidak
bebas dan antipembangkang menjelang PRU atas arahan pihak-pihak yang
menguasai mereka atau atas pilihan sendiri. Manakala media
propembangkang anak menjadi lebih antikerajaan.
Apa yang
lebih menarik adalah pencapaian media massa Malaysia dalam jangka masa
lebih panjang. Daripada perangkaan RWB sejak 2002, media massa Malaysia
diputuskan sebagai lebih bebas pada penghujung pentadbiran (Tun) Dr
Mahathir “the Wizard” Mohamad dan pada awal pemerintahan (Tun) Abdullah
“Mr Clean” Ahmad Badawi.
Pada tahun
2002 misalnya, Malaysia menduduki anak tangga ke-110 dan pada 2003,
iaitu tahun akhir pemerintahan Dr Mahathir, penarafan menjadi bertambah
baik di anak tangga 104.
Pada tahun
2004, kedudukan Malaysia merosot 18 anak tangga kepada 122 apabila
Abdullah mula menampakkan taringnya dengan melakukan rombakan besar
terhadap media arus perdana, khususnya media milik Umno.
Sebaik saja perubahan itu dilakukan, MAP mula menyerang Dr Mahathir dan tidak memberikan beliau ruang untuk membela diri.
Bagaimanapun,
pada dua tahun berikutnya — 2005 dan 2006 — penarafan menjadi
bertambah baik apabila Abdullah mula mempamerkan sikap yang lebih
lembut. Serentak itu, kerajaan beliau mula dicabar pelbagai pihak,
terutama oleh media alternatif. Penarafan Malaysia naik kepada 113 pada
tahun 2005 dan pada 2006 mencatat aras terbaik di kedudukan ke-92.
Pada tahun
2007, ia merosot semula kepada 124 akibat laporan berat sebelah MAP
terhadap tunjuk perasaan Bersih dan Hindraf serta menjadi lebih buruk
apabila PRU diadakan pada 2008. Kedudukan Malaysia jatuh ke nombor 132.
Penarafan
media massa Malaysia naik sedikit pada 2009 kepada 131 apabila Mohd
Najib “Wira” Abdul Razak mengambil alih pentadbirandaripada Abdullah.
Tetapi
pada tahun berikutnya (2010), prestasi media massa Malaysia jatuh ke
paras terburuk, iaitu 141 akibat laporan media massa arus perdana
mengenai kes liwat kedua Anwar Ibrahim dan tunjuk perasaan Bersih.
Sedikit kesan pemansuhan ISA
Selepas
itu, hasil tindakan kerajaan membatalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri
(ISA) dan beberapa undang-undang lain serta berjanji melonggarkan
peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan menyebabkan penarafan media
massa Malaysia naik sedikit kepada 122 pada 2011 dan kekal pada anak
tangga itu tahun lalu.
Penarafan
Malaysia tidak menjadi bertambah baik kerana sejak cakap-cakap PRU
timbul, media massa arus perdana kembali membuat laporan berat sebelah
menyokong kerajaan dan memburuk-burukkan pembangkang.
Namun
begitu, secara peribadi, saya kurang setuju dengan penarafan RWB itu.
Saya rasa mereka terlalu terpengaruh dengan perlakuan MAP tanpa memberi
pertimbangan yang lebih berat dan positif kepada peranan media
alternatif, khasnya yang berasaskan Internet.
Media
baru, alternatif dan Internet semakin berpengaruh, lebih-lebih lagi di
kalangan audiens yang tidak menggunakan MAP sebagai sumber maklumat.
Kalau pengiktirafan sewajarnya diberikan kepada media baru, saya rasa
persekitaran media Malaysia cukup bebas. Wallahualam.— kadirjasin.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan