Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR : Seorang saksi KEADILAN dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing di Sabah, Dr Chong Eng Leong bimbang gilirannya untuk memberi keterangan sengaja dilewatkan seolah-olah tidak mahu memberi peluang beliau membuka mulut.
“Mereka seperti tak mahu saya jadi saksi. Asyik bertangguh, dengan alasan ada ramai lagi sedang menunggu giliran,” katanya kepada Keadilan Daily.
Ketua Biro Keselamatan, Imigresen dan Reformasi Pilihan Raya KEADILAN itu sepatutnya memberi keterangan pada 29 Januari lalu tetapi sehingga hari ini beliau belum dipanggil.
“Sudah tiga sesi berlalu. Menurut peguam saya, pihak RCI akan memaklumkan bila saya akan dipanggil. Disebabkan itu saya masih belum boleh buat sebarang kenyataan,” katanya.
Chong Eng dipanggil berikutan pendedahannya sebelum ini dalam Suara Keadilan edisi 28 Ogos 2012 berhubung keterlibatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam memberi kewarganeraan kepada warga Filipina dan Indonesia di Sabah.
Menurutnya, Projek IC Mahathir atau ‘Projek M’ telah menambah secara drastik jumlah penduduk Sabah dan membenarkan pendatang asing menjadi pengundi sah.
Beliau turut mendedahkan terdapat 200,000 nama warga asing hasil dari ‘Projek IC’ dalam senarai pemilih di Sabah dari jumlah keseluruhan 950,000 pengundi berdaftar.
Katanya, hasil projek tersebut, penduduk Sabah telah bertambah kira-kira 700,000 orang termasuk generasi kedua dan sebahagiannya telah berdaftar sebagai pengundi sah.
RCI memulakan sidang pada 14 Januari lalu dengan menampilkan 48 saksi di Kota Kinabalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.