Halaman

Jumaat, 22 Februari 2013

RCI Sabah diberitahu sindiket jual IC diketuai orang JPN dapat RM11juta


KOTA KINABALU — Sindiket melibatkan bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah mendapat RM11 juta hasil daripada penjualan kad pengenalan (IC) kepada pendatang haram di Sabah, Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) diberitahu hari ini.

Pegawai Polis Kanan Cawangan Khas (SB) Ahmad Fauzan Mohamad juga berkata hari ini tiada seorang pun daripada 94 orang yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sepanjang 1995-2001 kerana penglibatan mereka dalam sindiket, didakwa di mahkamah.

“Dianggarkan lebih kurang RM11 juta dikumpulkan hasil dari tindakan ini,” kata Ahmad Fauzan semasa RCI di sini hari ini.

Ahmad Fauzan, yang bertugas di jabatan polis bahagian keselamatan, sindiket dan penyeludupan manusia di Kuala Lumpur juga menegaskan sindiket itu hanya didorong oleh keuntungan kewangan, dan bukan atas sebab-sebab politik.

“Saya tidak ada sebab untuk melihat motif lain kerana keuntungan kewangan sudah ada,” katanya.

Sebelum ini bekas pengarah JPN Ramli Kamarudin, bagaimanapun, memberitahu RCI bulan lepas bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Megat Junid Megat Ayub mengarahkan dirinya untuk mengeluarkan resit JPN, yang sama dengan nama dan nombor kad pengenalan pengundi berdaftar kepada pendatang.

Ramli telah mengatakan lebih kurang 200 resit JPN dikeluarkan di lima atau enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dimana kerajaan merasakan sukar untuk menang, sebelum pilihan raya negeri 1994.

Pilihan raya negeri 1994 menyaksikan Parti Bersatu Sabah (PBS) menang 25 daripada 48 kerusi DUN.
Akan tetapi beberapa ADUN PBS belot menyertai Barisan Nasional (BN) sejurus selepas itu, menyebabkan kerajaan PBS jatuh.

Ahmad Fauzan mengatakan hari ini Ramli ditahan selama dua tahun dibawah ISA dari 1996 hingga 1998, manakala seorang lagi bekas pengarah JPN Sabah Datuk Abdul Rauf Sani diletakkan dibawah kediaman terhad selama enam bulan pada 1996.

Pegawai SB DSP Badaruddin Ismail memberikan keterangan bulan lepas Ramli telah menjual 16,000 resit JPN dengan berharga lebih RM1 juta yang membenarkan pendatang Sabah untuk mengundi.

Ramli menjual setiap resit dengan harga RM250 sepanjang 1993 dan 1995 kepada pendatang haram dari Filipina, India, Pakistan dan negara lain, menurut Badaruddin.

Badaruddin juga mengatakan Abdul Rauf telah menjual 6,305 kad pengenalan kepada pendatang Filipina dan Indonesia juga kepada rakyat tempatan dengan harga RM167,300.

Abdul Rauf memberitahu RCI bulan lepas kad pengenalan biru juga dikeluarkan untuk meningkatkan jumlah pengundi Islam di Sabah.

Beliau mengatakan beliau sedar  pendatang di Sabah diajar bagaimana untuk mengundi dalam pilihan raya, jika tidak, kad pengenalan mereka akan dibatalkan.

Ahmad Fauzan mengatakan hari ini setiap IC dijual diantara RM50 hingga RM1,400, tetapi menambah beliau tidak mengetahui identiti penerima.

Beliau sedar operasi sindiket tersebut telah mengancam keselamatan negara.

“Dengan serangan daripada semua warga asing, ia menggalakkan aktiviti penyeludupan manusia,” katanya.

“(Sindiket) ini disediakan dan disusun dengan baik. Selain pegawai JPN, terdapat juga agen dari orang awam dan sub-agen yang terlibat dalam mengeluarkan IC,” tambah Ahmad Fauzan.

Beliau menegaskan Megat Junid telah menandatangani perintah tahanan kepada 80 daripada 94 ditahan di bawah ISA.

Ahmad Fauzan, yang telah melakukan penyelidikan dan penilaian terhadap sindiket, berkata 3,035 lagi rakyat di Sabah telah didakwa di mahkamah oleh agensi-agensi penguatkuasaan lain untuk memalsukan kad pengenalan dan memiliki kad pengenalan palsu.

Bekas penolong pendaftar JPN Sabah Kee Dzulkifly Abd Jalil memberi keterangan bulan lepas 100,000 kad pengenalan biru diberikan kepada pendatang Filipina, Indonesia dan Pakistan di Sabah pada 1993.

Perdana menteri paling lama Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkuasa dari 1981 ke 2003 telah dituduh menggepalai “Projek IC”, di mana kerakyatan diberikan kepada pendatang sebagai ganti kepada undi.

Akan tetapi bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh yang mentadbir negeri tersebut dari 1976 hingga 1985 telah menafikan kewujudan “Projek IC”.

Dr Mahathir memberitahu pemberita bulan lepas, orang asing di Sabah ada menerima kerakyatan akan tetapi menegaskan ia dilakukan dalam konteks undang-undang.

Inkuiri dihadapan bekas ketua hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong bersambung petang ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.