KL TODAY
LUMUT
– Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia berdepan pelbagai
kemungkinan termasuk kekecohan atau proses perjalanan pilihan raya
terganggu di pusat penamaan calon dan pengundian pada pilihan raya umum
ke-13 akan datang.
Timbalan
Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata cabaran mengurus
pilihan raya kali ini berbeza kerana banyak perkara baharu akan
dilaksanakan tambahan pula pilihan raya umum ini dilabel sebagai ‘ibu
segala pilihan raya’, ‘pilihan raya paling panas’ dan ‘pilihan raya
paling sengit’.
“Banyak
perkara baharu yang diperkenalkan akan dilaksanakan SPR pada pilihan
raya kali ini yang merupakan ‘pilot project’ seperti pengunaan dakwat
kekal,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada
Taklimat Ulangan kepada Pengawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus
bagi negeri Perak di Segari di sini.
Beliau
berkata kekecohan atau proses pengundian boleh terganggu berhubung
penggunaan dakwat kekal sekiranya pemilih tidak mematuhi peraturan atau
undang-undang pilihan raya.
Ada
beberapa keadaan yang menyebabkan pemilih tidak akan diberi kertas undi
antaranya tidak mahu menunjukkan jari untuk diperiksa, tidak
membenarkan jari dicalit (dengan dakwat kekal) dan jari telah dicalit
dengan dakwat kekal, katanya.
Wan Ahmad
berkata elemen penggunaan dakwat kekal adalah wajib dan merupakan
antara perkara penting yang perlu difahami semua parti politik dan
rakyat.
Beliau
berkata sesiapa yang mengganggu kelancaran proses pilihan raya atau
mencetuskan kekecohan serta menghalang proses itu di tempat pengundiaan
boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Pilihan Raya
(Perjalanan Pilihan Raya 1981) iaitu didenda RM1,000 dan dipenjara.
“Jangan
dengar ajaran songsang yang berfikiran mahu melakukan sesuatu yang
boleh mengganggu gugat keadaan di tempat pengundian. Hak kita sebagai
pengundi mesti dilaksanakan dengan masuk ke tempat mengundi, mengundi
dan lepas itu keluar dari situ. Matlamat SPR adalah untuk mewujudkan
proses pengundian yang lancar dan aman,” katanya.
Beliau
berkata banyak penambahbaikan yang dilakukan SPR dalam usaha mewujudkan
pilihan raya bersih, lancar dan aman antaranya penggunaan dakwat
kekal, tempoh kempen lebih 11 hari serta pelantikan pemerhati bebas
pilihan raya yang mempunyai akses ke tempat pengundian dan memantau
aktiviti kempen.
Selain
itu, Wan Ahmad berkata berdasarkan daftar pemilih yang diwartakan dua
hari lepas, Perak mempunyai 1,397,279 pemilih dengan 778 pusat
pengundian termasuk pusat pengundian awal serta 2,667 saluran mengundi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.