Oleh: Mohd Arif Juhani
KUALA LUMPUR : Naib Presiden KEADILAN, N Surendran meminta
kematian seorang suri rumah yang ditembak polis baru-baru ini,
diklasifikasi sebagai kes bunuh dan bukan cubaan membunuh.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, SAC Mohd
Adnan Abdullah, bahawa anggota polis terlibat akan disiasat di bawah
Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
“Saya ulang, ini bukan cubaan membunuh tetapi memang bertujuan
membunuh dan sepatutnya disiasat bawah Seksyen 302 kanun keseksaan
kerana membunuh.
“Peruntukan undang-undang ini pun menunjukkan polis tidak faham
proses undang-undang dan cuba menyembunyikan kesalahan pegawai mereka,”
katanya ketika dihubungi.
Dalam kejadian 18 Januari lalu, Pua Bee Chun, 22 mati tembak di dada
selepas terkena salah satu daripada 25 das tembakan yang dilepaskan
anggota polis, berhampiran Taman Sentosa Klang.
Ia merupakan siri kematian ketiga disebabkan salahlaku polis dalam
tempoh sebulan, selepas kes kematian C Sugumaran dan Chang Chin Te.
Surendran berkata, sama seperti kes-kes lain, polis bertindak tanpa mengikut prosedur hingga menyebabkan kematian orang awam.
“Peliknya kenapa sebanyak 25 kali tembakan dilepaskan walhal polis
hanya dibenarkan melepaskan tembakan bertujuan menyelamatkan diri
sendiri dan nyawa orang awam.
“Perbuatan ini menunjukkan polis gagal mengikut peraturan dalaman
PDRM yang menuntut polis bertindak lebih cekap dan bijaksana,” ujarnya
kepada Keadilan Daily.
Tegasnya kes seumpama ini berlaku ekoran kegagalan kerajaan
melaksanakan Suruhanjaya Bebas Terhadap Salah Laku dan Aduan Polis
(IPCMC) sepertimana yang didesak selama ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan