Halaman

Sabtu, 23 Februari 2013

Susulan kes AES: MB Selangor sangkal kenyataan Najib

SINAR HARIAN

Susulan kes AES: MB Selangor sangkal kenyataan Najib
Abdul Khalid (kanan) beramah mesra dengan peserta Program Jom Shopping SMUE semalam.
 
KUALA SELANGOR - Kerajaan negeri menyangkal kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan keputusan menggantung projek kerajaan persekutuan hanya akan merugikan rakyat, sekali gus membantutkan pembangunan di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan menggantung semua projek kerajaan persekutuan di Selangor tidak memberi kesan terhadap gerak kerja projek terbabit kerana difahamkan, sehingga kini masih berjalan seperti biasa.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak menghalang kerja yang mereka laksanakan sehingga kini walaupun semua projek kerajaan persekutuan digantung, cuma syarikat terlibat akan dipanggil berdasarkan keputusan mahkamah yang dibuat baru-baru ini.

"Kerajaan negeri mengambil pendekatan untuk memanggil syarikat yang terlibat untuk berbincang berhubung keputusan mahkamah yang menyatakan pihak berkuasa tempatan (PBT) tiada kuasa untuk menentukan kelulusan perancangan struktur.

"Kita perlu faham bahawa ini dua perkara yang sangat penting kerana jika kita tiada kuasa, adakah kerajaan negeri tidak dibenarkan untuk menentukan pembangunan di dalam negeri ini, bukan sahaja kuasa ke atas tanah tetapi pembangunan di tanah milikan yang diberikan kepada kerajaan pusat?

"Perkara ini perlu diperjelaskan kerana setiap keputusan yang diambil memberi kesan dan jika kerajaan negeri masih tiada kuasa, kita akan berbincang dengan pihak Lembaga Lebuhraya Persekutuan dan meminta pandangan mereka dalam perkara ini," katanya di sini hari ini.

Kelmarin, kerajaan negeri memutuskan untuk menggantung semua projek kerajaan pusat di negeri ini sehingga selesai rayuan berkaitan permohonan semakan kehakiman ke atas urusan pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Di bawah keputusan kerajaan negeri itu, mana-mana kebenaran pembangunan yang diberi ke atas jalan raya dan prasarana persekutuan hendaklah digantung buat sementara waktu sehingga proses rayuan selesai.

Selain itu, satu semakan semula oleh Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri juga akan dilakukan ke atas semua senarai cadangan pembangunan persekutuan sama ada lebuh raya atau prasarana Transit Aliran Ringan (LRT) demi memastikan kepentingan rakyat Selangor dan kerajaan negeri terjamin.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Adun Ijok berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sama ada perlu menulis kepada Lembaga Lebuhraya Persekutuan atau membuat keputusan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri supaya dapat memberi kuasa seperti dalam undang-undang perancangan bandar dan undang-undang PBT.

"Dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri semalam, arahan sama masih diteruskan dan Exco perlu memaklumkan kepada saya senarai projek kerajaan persekutuan yang sedang berjalan di negeri ini dan perbincangan lanjut akan dibuat hasil dari keputusan mahkamah itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir pada Program Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di sebuah pasaraya, di Puncak Alam semalam dan dihadiri seramai 150 warga emas di kawasan Dun Ijok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.