PETALING JAYA : Kementerian Pertahanan menganugerahkan kontrak tambahan kepada Awan Megah Sdn Bhd (AMSB), milik Ketua Wanita Umno Selangor, Raja Ropiah Abdullah melalui satu surat lantikan bertarikh 26 Jun 2012.
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli mendedahkan, urusniaga tersebut disembunyikan dari pengetahuan umum dan pemegang saham lain kerana tidak difailkan kepada Bursa Malaysia.
“Kementerian Pertahanan menganugerahkan kontrak tambahan sebanyak RM15,054,408 kepada AMSB, selain dari pembayaran RM130 juta yang pernah diumumkan sebelum ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, petang ini.
Justeru menurut Rafizi, tindakan tersebut bercanggah dengan syarat peruntukan dalam perjanjian yang secara automatik menyebabkannya terbatal.
“Urusniaga ini drancang dan dimeterai dengan satu tujuan, iaitu memberi durian runtuh kepada Raja Ropiah,” jelas Rafizi memaklumkan, sebagai pemegang saham minoriti, beliau akan berbincang dengan peguam untuk membawa kes tersebut ke mahkamah.
“Walaupun sudah dibayar RM130 juta atas alasan mengembalikan tanah-tanah kepada anak syarikat LTAT, sebenarnya hanya 200 ekar dari keseluruhan 223.3 ekar yang akan dipindahkan kepada Bakti Wira Sdn Bhd,” dedah Rafizi lagi.
Tambahnya, perjanjian secara jelas menegaskan, 23.2 ekar tanah kekal dalam tangan Raja Ropiah, yang dijangka mencecah RM400 juta dan sekiranya pembangunan bercampur dilakukan, ia bakal mencecah nilaian RM1.5 bilion.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan