Halaman

Selasa, 5 Februari 2013

Zahid setuju keputusan Majlis Syura PAS, Karpal tidak harus masuk campur hal ehwal Islam


KUALA LUMPUR— Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas kenyataan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh yang kecewa dengan keputusan Majlis Syura PAS  kalimah “Allah” hanya boleh digunakan oleh penganut beragama Islam.

Naib presiden Umno itu berkata, beliau tidak mengikut garis politik mengenai isu ini apabila menyokong keputusan Majlis Syura PAS.

“Saya tidak mengikut garis politik, apa yang dikatakan Majlis Syura itu benar. Dan Karpal Singh tidak seharusnya memberi komen ke atas Majlis Syura. Ini bukan kepakarannya,” kata Ahmad Zahid (gambar) selepas merasmikan portal kerjaya veteran tentera selepas bersara, KerjayaVeteran.my di sini hari ini.

Sabtu lalu, Karpal berkata adalah salah untuk menyatakan keputusan Majlis Syura Ulama PAS berhubung isu kalimah Allah diterima baik oleh orang bukan Islam termasuk pemimpin DAP.
Dalam hal ini, pengerusi DAP kebangsaan itu kecewa dengan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau mengulas laporan akhbar yang memetik Abdul Hadi sebagai berkata larangan ke atas orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu telah selesai dan pimpinan atasan DAP juga menerima penjelasan berhubung perkara itu yang dibuat Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu pertemuan ringkas dengannya di Pulau Pinang minggu lalu.

Beliau menegaskan tiada sebarang perkara dibincangkan berhubung isu berkenaan apabila beliau bertemu Nik Abdul Aziz pada pertemuan tidak rasmi itu.

Katanya Majlis Syura Ulama PAS tidak sepatutnya berpegang teguh dengan pendiriannya kerana ia bercanggah dengan pendirian pakatan pembangkang yang terdiri daripada DAP, PAS dan PKR.

Ahmad Zahid turut membidas kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mahu Putrajaya membenarkan penggunaan “Allah” untuk kitab Injil bahasa Melayu hanyalah bersifat politik dan tidak memahami mengenai kesucian kalimah tersebut.

“Semasa saya jadi Menteri Di JPM, kita mengatakan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memutuskan penggunaan perkataan Allah hanya untuk kitab-kitab agama Islam.

“Bagi saya, Lim Guan Eng sedang melakukan political diversion, untuk menarik orang bukan Islam mengundi Pakatan Rakyat,” kata Ahmad Zahid.

Isu tentang kalimah “Allah” kembali diperkatakan semula selepas sambutan Perayaan Hari Krismas tahun lalu, apabila Lim, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dalam perutusan Krismasnya meminta Putrajaya membenarkan kalimah suci tersebut digunakan dalam kitab Injil berbahasa Melayu.

Keputusan Mahkamah Tinggi pada Disember 2009 mengatakan perkataan “Allah” tidak terhad kepada orang Islam dan Gereja Katolik mempunyai hak untuk menerbitkan perkataan dalam seksyen bahasa Melayu akhbar mingguan itu, Herald.

Penghantaran Alkitab, kitab Injil dalam bahasa Melayu kepada Bumiputera Kristian yang menggunakan Bahasa Melayu telah disekat atau dirampas di pelabuhan, sebelum kerajaan akhirnya tunduk kepada tekanan dan membebaskannya pada tahun 2011.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.