SINAR HARIAN
KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob sudah bersedia
untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang jika benar Dewan
Rakyat dibubarkan esok.
"Spekulasi mengenainya (pembubaran Dewan Rakyat) sudah bermula dua
tahun lalu, sudah lama, jadi kemungkinan itu memang ada (bubar esok).
"Tapi, saya percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ada
strateginya tersendiri. Lagipun, banyak lagi perancangan seperti Program
Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) yang
perlukan perhatian," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan
Baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 di Kompleks SUKPA, di sini,
hari ini.
Beliau juga menegaskan pembubaran DUN Pahang tidak akan dibuat lebih awal daripada tarikh penggal berakhir.
DUN Pahang akan terbubar secara automatik pada 8 April ini jika tidak dibubarkan lebih awal daripada tarikh berkenaan.
Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang di bawah perkara 26
Fasal 3, Dewan Negeri hendaklah berjalan terus selama lima tahun
daripada tarikh persidangan yang pertama dan hendaklah terbubar pada
hujung tempoh itu kecuali jika dibubarkan terlebih dahulu.
Pada majlis hari ini sebanyak 3,974 orang yang terdiri daripada
individu bujang dan ketua keluarga yang layak menerima BR1M 2.0
masing-masing. Individu bujang menerima RM250, manakala ketua keluarga
pula menerima RM500.
Turut hadir pada majlis itu Anggota Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul
Manan Ismail dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Inderapura
Datuk Shafik Fauzan Shariff.
Mengulas perkara lain, Adnan berkata, Barisan Nasional (BN) Pahang
tidak gentar berdepan dengan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Pulau
Manis, Datuk Mohd Ariff Sabri Abd Aziz yang diletak DAP bertanding di
kerusi Parlimen Raub.
Katanya beliau juga tidak terkejut dengan pengumuman DAP mempertaruhkan Mohd Ariff Sabri di kawasan itu.
Beliau pernah bersama BN dulu dan ternyata gagal sebagai wakil rakyat,
dan masyarakat tahu menilai kredibiliti seseorang calon dan parti yang
diwakilinya, kata Adnan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.