HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 April 2013

Anwar sambut janji peralihan kuasa secara aman, ajak Najib berdebat

TERKINI
Oleh Md Izwan

 Anwar Ibrahim pada sidang akhbar 3 April 2013 di ibu pejabat PKR. — Gambar oleh Saw Siow FengPETALING JAYA— Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut janji peralihan kuasa secara aman yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dengan terbuka dan mengulangi tawaran untuk berdebat dengan pemimpin utama Barisan Nasional (BN) itu.

Anwar berkata Pakatan Rakyat (PR) juga akan mempertahankan keamanan dan memastikan etika pilihan raya akan dipatuhi oleh kesemua parti komponen mereka.

“Kami mengalu-alukan kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang menjamin peralihan kuasa aman sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum ke-13 nanti.

“Kami bertekad untuk bersama-sama mempertahankan keamanan negara dan menggesa supaya tidak ada mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk menimbulkan kekacauan,” kata Anwar.

Ketua Pembangkang juga menyeru Barisan Nasional (BN) untuk mengambil langkah sama dalam memastikan keamanan dan keselamatan sepanjang tempoh kempen pilihan raya, serta mematuhi janji seperti yang dikatakan oleh Najib.

“Oleh yang demikian, kami menyeru semua pihak terutamanya rakan-rakan daripada Barisan Nasional untuk memastikan etika pilihan raya dan amalan prinsip demokrasi dipatuhi sepanjang masa,” katanya lagi.

Anwar juga berharap pasukan keselamatan dapat mengambil langkah secara profesional sepanjang tempoh berkempen, selaras yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pakatan Rakyat sememangnya menaruh sepenuh keyakinan bahawa pasukan keselamatan akan bertindak secara profesional dan berlaku adil demi menjaga ketenteraman awam sepanjang tempoh berkempen.

“Ia sejajar dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang memberi jaminan bahawa rakyat berhak untuk mendapat ruang yang bebas bagi menentukan kerajaan yang menepati harapan rakyat,” kata Anwar.

Dalam pada itu, Anwar sekali lagi mengulangi tawaran dengan mengajak Najib berdebat bertujuan untuk mengorak kearah suatu corak politik yang baru dan sihat.

“Pakatan Rakyat mengulangi pelawaan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk mempertahankan rekod Barisan Nasional dan kepada kami untuk membentangkan kebijakan dasar Pakatan Rakyat dalam sebuah debat.

“Ia supaya rakyat boleh membuat pilihan yang bermaklumat dan adil,” katanya lagi.

Pagi ini, Najib telah mengumumkan secara langsung pembubaran Parlimen di Putrajaya bagi memberikan laluan kepada Pilihan Raya 2013 dapat diadakan dalam bulan ini.

Ahli politik daripada parti pemerintah Barisan Nasional (BN) dan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) bertarung merebut 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi Dun pada Pilihan Raya 2013, The Malaysian Insider difahamkan ia bakal berlangsung dalam tempoh sebulan ini.

Seramai 13.3 juta pengundi, termasuk 3,000 yang menetap di luar negara telah mendaftarkan diri sebagai pengundi pada pilihan raya kali ini yang dilihat paling sengit dan penting untuk seluruh rakyat Malaysia.

Tiada ulasan: