Halaman

Rabu, 3 April 2013

KEADILAN Selangor bersedia penuh pertahan kemenangan

Oleh Aisha Geoffrey

PETALING JAYA : Semua Bilik Gerakan Utama bagi setiap kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang ditandingi KEADILAN beroperasi sepenuhnya bagi berdepan pilihan raya akan datang.

Amirudin

Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri, Amirudin Shari berkata, segala persiapan lain seperti logistik serta latihan untuk petugas kini di peringkat akhir dan dijangka selesai menjelang pembubaran Parlimen.

“KEADILAN Selangor fokus pada gerak kerja untuk berdepan PRU 13, dan kini bersedia sepenuhnya,” katanya pada sidang media di Pejabat KEADILAN Selangor, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Caves itu turut mengumumkan perlantikan Ketua Cabang Hulu Selangor, Nazar Yakin sebagai Ketua Bilik Gerakan Utama dan Penyelaras Pilihan Raya Negeri.

“Kami yakin perlantikan ini dapat memastikan koordinasi gerak kerja pimpinan dan jentera KEADILAN di semua peringkat berjalan lancar. Ia berdasarkan pengalaman bekerja beliau (Nazar) sejak pemilihan 2010,” kata Amirudin.

Tambahnya, kerjasama erat Pakatan Rakyat di Selangor memperkukuh muafakat politik di negeri itu.

“Hasilnya, Pakatan di Selangor akan menyertai PRU 13 dengan sebuah manifesto sebagai tawaran khusus buat rakyat Selangor,” katanya.

Menurutnya lagi, dengan ramai calon berwibawa dan sokongan ahli di peringkat akar umbi menyumbang kemenangan Pakatan di Selangor.

“Kita yakin Selangor akan dipertahan sekaligus melakar kemenangan rakyat di Putrajaya,” kata Amirudin. – NS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.