Muhyiddin (kiri) mempengerusikan mesyuarat jentera pilihan raya BN Parlimen Pagoh di Kompleks Sri Pekember.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penilaian peringkat akhir masih dijalankan bagi meneliti calon terpilih mempunyai kes atau tidak dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Insolvensi dan pihak polis.
“Senarai yang diputuskan walaupun belum muktamad lagi, ada masa untuk dapatkan pengesahan daripada pihak berkaitan. Jika didapati terbabit kes, ada sedikit sebanyak perubahan akan dilakukan selepas terima laporan pihak itu.
“Walaupun masa lalu juga dibuat pemilihan calon dengan rapi tetapi kali ini terlalu rapi, kerjasama dengan semua pemimpin di peringkat negeri dan komponen parti dibuat dengan begitu fokus. Kita bertemu mereka banyak kali dan bukan sekali,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Raya BN Bahagian Pagoh, di Kompleks Sri Pekembar, semalam.
Muhyiddin berkata, penilaian lebih terperinci dilakukan di peringkat Parlimen atau Dun bagi menentukan siap a calon sesuai dan diterima serta mendapat sokongan besar seterusnya capai kemenangan.
Selain faktor penapisan itu katanya, calon juga mesti mengemukakan laporan kesihatan yang terkini bagi memastikan kelayakan mereka kerana tidak mahu masalah tersebut akan mengganggu perkhidmatannya nanti.
Katanya, BN tidak mahu tumpuan perkhidmatan bakal wakil rakyat itu nanti menjejaskan prestasinya dan bertambah teruk disudahi dengan pilihan raya kecil (PRK).
Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, semua yang dilakukan itu adalah bagi membolehkan calon diterima, tidak mewujudkan banyak bantahan dan menunjukkan kepada rakyat bahawa pemilihan itu adalah terbaik untuk kawasan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.