Halaman

Rabu, 3 April 2013

'Rakyat pantai timur Sabah jangan takut keluar mengundi'

 
MALAYSIA KINI


 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat Malaysia khususnya di pantai Timur Sabah supaya tidak bimbang dan takut untuk keluar mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

NONE"Kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya di pantai timur Sabah, janganlah bimbang dan takut. Laksana dan tunaikan tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan sebagai warga Malaysia.

"Pihak keselamatan akan menjalakan tugas mereka untuk memastikan persekitaran selamat untuk tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Setiap undi tuan-tuan dan puan-puan adalah penting. Jangan bazirkan ia. Jangan pertaruhkan masa depan anak-anak dan negara Malaysia.

"Fikir dan renungkanlah dengan sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan. Ini kerana undi saudara dan saudari akan menentukan bukan sahaja hala tuju negara atau negeri tetapi juga untung nasib anak cucu kita semua," kata Najib.

Najib berkata demikian dalam ucapannya ketika membubarkan parlimen di pejabatnya di Putrajaya pagi ini.

NONEKawasan pantai timur Sabah khususnya di Lahad Datu berdepan dengan pencerobohan sekumpulan pengganas dari selatan Filipina pada Februari lalu.

Hal demikian menyebabkan penduduk di beberapa kampung di gugusan Felda Sahabat, Lahad Datu, ditempatkan di pusat pemindahan bagi membolehkan pasukan keselamatan membersihkan perkampungan mereka daripada kumpulan militan itu.


Bagaimanapun, kesemua penduduk kampung terlibat telah kembali ke rumah masing-masing secara berperingkat mulai minggu lepas apabila pasukan keselamatan memberi jaminan kawasan kediaman mereka selamat.

Dalam ucapannya juga, Najib berkata dalam pilihan raya ini, rakyat Malaysia bukan sahaja memilih wakil mereka bagi setiap kawasan parlimen dan DUN, tetapi juga memilih kerajaan yang mendokong aspirasi mereka.

Najib turut mengucapkan penghargaan dan ucapan terima kasih kerana rakyat memberi kepecayaan kepada kerajaan dan BN untuk mentadbir negara sejak lima tahun lalu.

"Saya dan rakan amat menghargai dan junjung tinggi kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan akan beri terbaik demi untuk Malaysia dan warganya.

"Saya selaku ketua kerajaan dan BN ingin rakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kerana memberi kepercayaan pada kepada kami kerajaan Barisan Nasional untuk menerajui kepimpinan negara semenjak lima tahun lepas," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.