Halaman

Isnin, 27 Mei 2013

Kahwin bawah umur : PGSM cadang Jain dilantik pihak pendakwaan, pembelaan

NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH

Musa Awang
Musa Awang
 
SHAH ALAM – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mencadangkan supaya pihak Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) dijadikan sebagai pihak pendakwaan dan pembelaan dalam setiap permohonan kebenaran berkahwin bawah umur di Mahkamah Syariah.

Presidennya, Musa Awang berkata, cadangan ini sedikit sebanyak dapat menutup ruang terhadap cubaan untuk mengambil kesempatan terhadap peruntukan undang-undang sedia ada.

“Hal ini juga dilihat dapat mengelakkan undang-undang Syariah disalahguna walaupun ia  membolehkan perkahwinan bawah umur diiktiraf sebagai sah, asalkan memenuhi syarat-syarat tertentu.

“Oleh itu PGSM menyambut baik cadangan supaya  undang-undang Sivil dan Syariah negara ini dikaji semula bagi memperketat peraturan berkaitan perkahwinan bawah umur,” katanya dalam satu kenyataan.

Jumaat lalu,  Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun mencadangkan supaya kedua-dua undang-undang berkenaan dikaji semula.

“Kita akan mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk pakar undang-undang sivil dan syariah sama ada terdapat keperluan menggubal undang-undang baru atau menambahbaik undang-undang Sivil dan Syariah sedia ada.
 
"Misalnya, mengikut peruntukan undang-undang sekarang (syariah), apabila seorang bapa (ibu bapa) dan Mahkamah Syariah membenarkan kanak-kanak itu (berkahwin) maka perkahwinan itu dibenarkan walaupun masih muda atau bawah umur," katanya.

Azizah berkata demikian sebagai mengulas satu kes baru-baru ini membabitkan seorang lelaki berumur 40 tahun yang didakwa merogol gadis berusia hampir 13 tahun dan kemudiannya memaklumkan telah berkahwin dengan gadis itu mengikut undang-undang Syariah.

Mengulas perkasa sama, Musa berkata, pihaknya berharap kajian tersebut dibuat berlandaskan Al-Quran dan Sunnah supaya sebarang keputusan yang dibuat tidak menghalalkan perkara yang haram dan tidak mengharamkan perkara yang halal disisi syarak.

“Undang-undang yang dibuat mestilah disesuaikan dengan kehendak agama, bukan agama disesuaikan dengan kehendak undang-undang.

“PGSM berharap kenyataan baru-baru ini akan menghentikan polemik tentang isu perkahwinan bawah umur kerana bimbang boleh mengelirukan sekali gus menimbulkan fitnah terhadap Islam,” katanya.

Musa menambah, musuh Islam akan menggunakan isu ini untuk mengatakan Islam melanggar hak kanak-kanak dan wanita.

Malah hal ini katanya boleh menjadi `jarum’ yang mampu menggugat keimanan umat Islam sendiri sekiranya polemik itu tidak dihentikan.

Sehubungan itu katanya lagi, PGSM juga bersedia berkerjasama dengan Kementeriaan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk turun padang bagi menerangkan pelbagai isu berbangkit terutama perkahwinan yang membabitkan pasangan bawah umur kepada orang ramai

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.